Tuesday, October 16, 2012

prinsip-prinsip pembelajaran



PRINSIP – PRINSIP PEMBELAJARAN EWELL (1997) 

Ewell (1997) telah membentuk satu model yang menggambarkan prinsip-prinsip pembelajaran dan ini mempengaruhi penguasaan pengetahuan, perkembangan kemahiran dan kompetensi apabila diaplikasikan di dalam bilik darjah. 

1. Penglibatan Aktif 
Mengikut Ewell (1997) ’’the learner is not 'receptable’ of knowledge, but rather creates his or her learning actively and uniquely’’ 
Dalam hal ini pelajar perlu membina pengetahuan dengan melibatkan diri secara aktif dalam pengajaran guru kerana pengetahuan tidak disampaikan secara langsung kepada mereka. Bruner (1961) telah mencadangkan pelajar melibatkan diri secara aktif dengan bahan pembelajaran supaya dapat kembali mengingat maklumat yang diperlukan.Mayer (2004) mencadangkan pelajar harus aktif secara kognitif. Pelajar yang terlibat dengan aktif dalam proses pembelajaran mampu menyelesaikan masalah, mengemukakan cadangan, memberikan pengertian baru kepada sesuatu topik,dan berkebolehan untuk menghubung kait apa yang telah dipelajari kepada konteks yang baru ( Ewell 1997) 

2. Perkaitan dan Corak 
Mengikut Ewell (1997) “involves actively creating linkages among concepts, skill elements,people and experiances” (p.7) Prinsip ini menerangkan bagaimana pelajar mempunyai peluang membina, menentu, menguji dan membina corak serta perkaitannya daripada situasi pembelajaran. Melalui pembelajaran ini, pelajar dapat mewujudkan suasana yang bermakna terhadap aktiviti pembelajaran yang mempunyai kaitan dan bentuk yang tertentu. Mengikut Woolfolk (2004), pelajar membuat perkaitan dengan pengetahuan sedia ada dan pelajar juga membuat perkaitan tentang bagaimana maklumat boleh digunakan pada masa hadapan. 

3. Pembelajaran Informal 
Pembelajaran tidak hanya berlaku di dalam bilik darjah sahaja ataupun pada waktu pengajaran tetapi boleh berlaku di mana–mana sahaja serta pada bila-bila masa. Pembelajaran informal membolehkan pelajar memperoleh pengetahuan di luar bilik darjah melalui interaksi dengan persekitaran. Sebagai contoh program lawatan sambil belajar dapat memberi peluang kepada pelajar belajar sesuatu yang baru. Pembelajaran informal merupakan pembelajaran implisit iaitu pengetahuan diperoleh akibat interaksi secara langsung atau melalui pelbagai cara daripada rakan sebaya, orang yang lebih dewasa atau persekitaran. 

4. Pengalaman Langsung 
Melalui pengalaman langsung, pelajar diberikan peluang untuk menguasai pengetahuan 
dan kemahiran dengan memerhati secara lansung objek atau fenomena yang ingin dikaji. Aktiviti seperti ini membantu pelajar membentuk pemahaman terhadap apa-apa yang dipelajari. Pengalaman langsung dalam konteks yang sebenarnya amat diperlukan supaya dapat mengubah tanggapan atau andaian yang salah tentang sesuatu. Pelajar dapat menemukan dan meneroka serta mengalaminya sendiri dan bukannya melalui pembacaan, pendengaran atau maklumat dari orang lain. 

5. Situasi Mendesak. 
Prinsip pembelajaran jenis ini mengandaikan bahawa pembelajaran optimum berkemungkinan boleh berlaku sekiranya seseorang berhadapan dengan masalah yang memerlukan penyelesaian tertentu. Sekiranya pengajaran adalah dalam situasi yang mendesak dengan pengalaman secara langsung dengan sesuatu yang benar-benar berlaku, maka pembelajaran tersebut akan lebih mencabar dan menarik bagi pelajar tersebut. Hal ini berlaku disebabkan terdapat satu keseimbangan antara cabaran dengan peluang dalam mana-mana situasi pembelajaran. Jika pelajar menghadapi satu situasi yang kompleks, ini akan memotivasikannya untuk mencari jalan penyelesaian. 

6. Maklum Balas Berterusan 
Maklum balas merupakan maklumat yang diberikan kepada individu tentang kesesuaian tindakan serta respon mereka. Maklum balas yang berkesan harus bersandarkan kepada analisis yang tepat tentang prestasi pelajar dan perlu dilakukan serta merta supaya pelajar tidak melakukan kesilapan. Pelajar boleh mendapatkan maklum balas daripada guru dan rakan-rakannya tentang prestasinya dan dengan cara ini mereka dapat meningkatkan kemampuan prestasinya. 

7. Sesuatu yang menyeronokkan. 
Pembelajaran perlu merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Menurut Ewell (1997) maklum balas serta pembelajaran berkesan berlaku jika pelajar berada dalam persekitaran yang menyeronokkan, iaitu interaksi peribadi dan sokongan padu daripada guru secara peribadi. Persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan merangkumi konteks budaya dan interpersonal menyediakan banyak peluang interaksi sosial dan pembelajaran. 

8. Refleksi 
Refleksi ialah proses memikir atau merenung kembali pengalaman dan implikasinya terhadap diri kita. Ia merupakan satu usaha bermakna untuk menjiwai proses pengajaran dan pembelajaran,membantu mengimbangkan kepercayaan kita dengan keperluan pelajar (Noraiti, Boon & Sharifah, 2009) Pelajar dapat mengawal pembelajaran mereka serta dapat meningkatkan kemahiran penilaian kendiri dan untuk melihat semula apa yang telah dibuat dan yang perlu dibaiki.



No comments:

Post a Comment