Tuesday, October 16, 2012

Jenis-jenis pembelajaran


Sekarang mari kita melihat pula jenis-jenis pembelajaran yang dikemukakan oleh Gagne (1985). Gagne mendefinisikan pembelajaran sebagai ”a change in human disposition or capability, which persist over period of time and which is not simply ascribe to processes of growth”. 

Dalam bukunya, Gagne (1985) telah mencadangkan lima jenis pembelajaran utama yang mana setiap satunya memerlukan cara pengajaran yang berbeza. Kelima-lima jenis pembelajaran tersebut ialah : 

1. Kemahiran intelek 
Kemahiran intelek merujuk kepada pengetahuan ’procedural ’ seseorang individu. Gagne (1985) telah menganalisis satu episod pembelajaran yang terdiri daripada pelajar, suatu situasi rangsangan yang merupakan episod-episod yang merangsang deria pelajar dan satu tindakan atau respons yang terhasil akibat rangsangan. 

Antara kategori kemahiran intelek yang dikemukakan oleh Gagne ialah : 

a) Pembelajaran Isyarat - dimana individu bertindak balas terhadap terhadap sesuatu signal. 
b) Pembelajaran Hukum - melibatkan gabungan dua atau lebih konsep yang berkaitan dalam sesuatu urutan atau rangkaian.Melalui pembelajaran ini, pelajar dapat menerangkan konsep, menggunakan rumus,prinsip dan membuat generalisasi. 
c) Pembelajaran Konsep - iaitu kebolehan untuk mengklafikasikan objek dan peristiwa mengikut ciri-ciri tertentu.
d) Pembelajaran Diskriminasi - belajar membezakan benda mengikut ciri tertentu, untuk memudahkan proses mengkategori dan menyimpannya dalam ingatan. 
e) Penyelesaian Masalah - pembelajaran ini melibatkan penggunaan prinsip, rumus, generalisasi, konsep dan hukum untuk menyelesaikan masalah dalam sesuatu situasi baru. 
f) Rantaian – satu rantaian dua atau lebih perkaitan rangsangan – respons dikuasai 
g) Asosiasi Verbal – satu pembelajaran rantaian berbentuk verbal 


Kebanyakan idea Gagne tentang analisis tugasan menunjukkan pembelajaran berlaku secara berperingkat (hierarchy) iaitu bergerak daripada peringkat paling mudah kepada peringkat paling kompleks.Perkara penting dalam hierarki ini ialah mengenal pasti prasyarat yang harus disempurnakan untuk memudahkan cara pembelajaran pada setiap peringkat. 

2. Maklumat Verbal 
Pembelajaran jenis ini merujuk kepada kebolehan seseorang mengungkap sesuatu peristiwa atau fakta sama ada secara lisan atau tulisan.Untuk membolehkan seseorang individu dapat melakukan sedemikian, dia perlu mempunyai kemahiran intelek dalam mengungkap atau menyebut sesuatu pernyataan, konsep,prinsip-prinsip atau prosedur. 

3 Strategi kognitif 
Strategi kognitif pula merupakan kemahiran-kemahiran di mana pelajar dapat mengawal sendiri proses -proses dalaman seperti memberi perhatian, belajar,mengingat dan memikir sesuatu.Untuk membolehkan kemahiran intelek ini diperoleh, pelajar perlu menguasai pelbagai strategi seperti strategi mengingat, strategi berfikir dan strategi mengingat kembali perkara yang telah dipelajari. 

4. Kemahiran Psikomotor 
Merupakan kebolehan untuk melakukan pergerakan fizikal mengikut urutan dengan tepat dan betul. Pembelajaran jenis ini melibatkan beberapa tahap iaitu pelajar akan belajar urutan yang berkenaan, kemudian mengamalkan pergerakan psikomotor tersebut dan akhirnya pemurnian pergerakan tersebut berasaskan maklum balas daripada persekitaran mereka. 

5. Sikap 
Gagne (1985) menyatakan sikap merujuk kepada keadaan dalaman yang mempengaruhi pilihan tindakan seseorang. Sikap seseorang dapat diperlihatkan melalui tingkah laku yang ditunjukkannya.Sikap boleh dipelajari dan dikuasai melalui pengalaman dan pemerhatian.Untuk memupuk sikap yang diingini, guru perlu mengaitkan kejayaan dengan sikap yang tertentu atau penggunaan model yang boleh memupuk sertai mengukuhkan tingkah laku positif.Selain itu, perlu pengukuhan supaya tingkah laku yang diingin dapat dimanifestasi.



No comments:

Post a Comment