Wednesday, October 24, 2012

PERTUBUHAN KESELAMATAN SOSIAL (PERKESO)


3.1 Pengenalan PERKESO
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah ditubuhkan sebagai Jabatan Kerajaan pada 1 Januari 1971 bagi menguatkuasakan Akta  Keselamatan Sosial Pekerja,1969 dan kemudian menjadi sebuah Badan Berkanun mulai 1 Julai 1985.
Mulai 1 Januari 1992 PERKESO telah diasingkan daripada Sistem Saraan Baru Kerajaan dan Sistem Saraan Baru PERKESO telah diperkenalkan. PERKESO mentadbirkan skim keselamatan sosial yang memberi perlindungan kepada para pekerja terhadap beberapa kejadian luar jangka seperti bencana pekerjaan termasuk kemalangan semasa perjalanan, keilatan dan kematian.
Objektif skim keselamatan sosial adalah untuk menjamin pembayaran faedah kepada pekerja dan tanggungannya apabila berlaku kejadian luar jangka kepada pekerja itu. Perkhidmatan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan vokasional juga disediakan di samping mengambil langkah mencegah kejadian kemalangan dan meningkatkan keselamatan pekerjaan. Kemudahan pemulihan bertujuan untuk membolehkan pekerja terbencana kembali bertugas secepat mungkin.
3.2   Misi
PERKESO adalah komited untuk memastikan keselamatan sosial dan ekonomi kepada semua rakyat Malaysia yang bekerja serta tanggungan mereka menerusi
ü  Prinsip Insurans Keselamatan Sosial
ü  Menyediakan perkhidmatan yang cepat, berkualiti serta cekap dan pada kos yang paling ekonomik (cost-effectiveness) dengan menggunakan teknologi canggih serta pembangunan sumber manusia.
ü  Mengkaji struktur faedah yang disediakan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada kemampuan kewangan dan cara serta sistem pemberian faedah.
ü  Seboleh-bolehnya tanpa memerlukan kadar caruman dinaikkan tetapi sebaliknya usaha-usaha diambil untuk memelihara serta meneguhkan lagi kumpulanwang PERKESO melalui pengurusan kewangan dan pelaburan yang baik.
ü  Memupuk serta menggalakkan kesihatan serta keselamatan pekerjaan di kalangan pekerja/majikan.
3.3       Peranan dan Tanggungjawab
ü  Memberi perkhidmatan yang Berkualiti, Adil, Tepat, Cepat dan Ekonomik kepada pelanggannya.
ü  Meningkatkan kemahiran serta kepakaran kakitangan PERKESO disamping penggunaan teknologi canggih  bagi meningkatkan perkhidmatannya.
ü  Memelihara serta menguatkan kumpulan wang di bawah tanggungjawab PERKESO supaya menjadi lebih teguh. 
ü  Menghayati nilai-nilai murni di kalangan kakitangan PERKESO. 
ü  Bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat dengan keselamatan sosial.
3.4       Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
PERKESO beriltizam sebagai sebuah organisasi yang sihat dan selamat berlunaskan prinsip bahawa keselamatan dan kesihatan adalah tanggungjawab semua. Pengurusan serta kakitangan adalah beriltizam untuk membentuk dan mengekalkan keselamatan dan kesihatan tempat kerja yang selesa ke arah membendung kecederaan akibat pekerjaan di samping kerosakan hartabenda dan nyawa.
Organisasi ini menjamin kejayaan dasar ini dengan :
·         Memperkembangkan program untuk melatih pekerja mengenai kesihatan dan pencegahan kemalangan.
·         Menyemai hemah untuk mengawal tindakan individu yang akan memudaratkan kesihatan dan keselamatannya serta orang lain.
·         Sentiasa merapati perubahan piawaian keselamatan dan kesihatan, tren serta teknik.
·         Memeriksa secara kerap ke atas kemudahan-kemudahan pejabat untuk mengenalpasti dan membetulkan apa-apa kelemahan dari segi keselamatan dan kesihatan.
·         Mengulangkaji rancangan untuk loji baru atau yang dijangka, kemudahan kelengkapan pejabat supaya terjamin rekabentuk, pembinaan, pemasangan serta operasinya adalah mengikut peraturan-peraturan kerajaan.
·         Pengurusan adalah beriltizam untuk menjamin setiap orang dalam organisasi memahami serta menerima yang dia mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatannya sendiri dan juga persekitarannya.
3.5       Pendaftaran
A.    MAJIKAN UTAMA
Majikan yang mengambil pekerja secara terus untuk bekerja dengannya. Semua pembayaran gaji dan urusan perkhidmatan diuruskan oleh majikan utama ini.
B.     MAJIKAN LANGSUNG
Majikan yang wujud di bawah majikan utama untuk menjalankan sesuatu kerja secara subkontrak. Majikan langsung berhak sepenuhnya kepada pekerja yang diambilnya untuk bekerja. 
C.     TANGGUNGJAWAB MAJIKAN
Majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja atau lebih dikehendaki mendaftar dan membayar caruman setiap bulan kepada PERKESO mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969. Memastikan semua pekerja yang diambil oleh majikan langsung telah didaftarkan dan caruman mereka dibayar.
D.    PENDAFTARAN MAJIKAN
Majikan mesti berdaftar di PERKESO dalam tempoh 30 hari dari tarikh beroperasi. Bagi tujuan pendaftaran, majikan dikehendaki mengisi borang-borang berikut dengan lengkap dan jelas:
1.      Borang 1 (Borang Pendaftaran Majikan) perlu disertakan dengan 2 salinan dokumen-dokumen berikut:-
a.       Syarikat Sdn Bhd
·         Borang 9 (Akta Syarikat 1965)
·         Borang 49 (Akta Syarikat 1965)

b.      Kepunyaan Tunggal / Perkongsian
·         Borang D (Perakuan Pendaftaran)
·         Borang A (Perakuan Perniagaan) atau
c.       Pejabat Peguam
·         Salinan Amalan Guaman daripada Majlis Peguam atau
d.      Klinik
·         Borang 12 (Akta Perubatan 1971 – Kelulusan daripada MMA) atau
e.       Pejabat Audit
·         Akta Syarikat 1965 – Kelulusan Juruaudit atau
f.       Pertubuhan / Persatuan
·         Borang 3 (Peraturan) Akta Pertubuhan 1966 (Peraturan-peraturan Pertubuhan   1984) atau 
g.     Lain-lain
·         Dokumen seperti yang ditetapkan.
2.      Borang 2 (Borang Pendaftaran Pekerja)
Ejaan nama dan kedua-dua nombor kad pengenalan pekerja perlu ditulis sepertimana yang tercatat dalam kad pengenalan pekerja. Borang 1 dan Borang 2 tersebut perlu dihantar ke pejabat PERKESO yang berhampiran. Nombor Kod Majikan dengan PERKESO akan diperuntukan dan digunakan dalam semua urusan. 
Majikan hendaklah menyelenggara dan menyimpan Daftar Pekerja yang menunjukkan butir-butir berikut bagi tiap-tiap bulan untuk setiap pekerja:-
*      Nama
*      Pekerjaan
*      Jumlah caruman di bawah Akta bagi bulan itu
*      Bahagian caruman pekerja
*      Gaji bulanan
*      Elaun
Daftar ini tidak diperlukan lagi jika majikan telahpun menyimpan suatu daftar yang hampir serupa dan butir-butir yang tersebut di atas telah juga ditunjukkan dalam daftar itu secara manual ataupun elektronik.
3.6   Caruman
Majikan utama perlu membayar caruman bulanan bagi setiap pekerja yang layak mengikut kadar yang telah ditetapkan di bawah Akta. Caruman pekerja sebanyak 0.5% perlu dibayar untuk perlindungan di bawah Skim Pencen Ilat dan caruman majikan sebanyak 1.75% bagi perlindungan di bawah Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat.
Kedua-dua kadar caruman tersebut adalah berdasarkan kepada jumlah gaji bulanan yang dibayar kepada seseorang pekerja berkenaan. Caruman perlu dibayar mulai bulan pertama pekerja itu diambil bekerja.
3.6.1    Jenis dan Kategori Caruman
A.    Jenis pertama
Caruman dibayar oleh majikan dan pekerja untuk Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat. Untuk pekerja yang berumur kurang daripada 55 tahun. Caruman dibayar oleh majikan dan pekerja untuk Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat.
B.     Jenis Kedua
Caruman dibayar oleh majikan sahaja untuk perlindungan di bawah Skim Insurans Bencana Pekerjaan. Caruman jenis ini hanya untuk pekerja yang tidak lagi layak dilindungi di bawah Skim Pencen Ilat.
        i.            Untuk pekerja yang berumur lebih daripada 55 tahun dan masih bekerja;
      ii.            Untuk pekerja yang berumur lebih daripada 50 tahun ketika mula-mula mendaftar dan mencarum dengan PERKESO;
    iii.            Orang Berinsurans yang menerima pencen ilat yang masih bekerja dan mendapat kurang daripada 1/3 gaji bulanan purata sebelum mengidap keilatan.
    iv.            Di bawah jenis ini caruman dibayar oleh majikan sahaja untuk perlindungan di bawah Skim Bencana Pekerjaan.
Bank yang dilantik dikehendaki memindahkan kutipan caruman pada hari bekerja pertama setiap minggu atau apabila amaun kutipan caruman mencapai jumlah RM20,000 mengikut mana yang terdahulu ke akaun PERKESO di Malayan Banking Bhd iaitu Akaun Kumpulan Wang Keselamatan Sosial.
Pertubuhan telah menandatangani perjanjian dengan EDI (M) Sdn Bhd dan Vads (M) Sdn Bhd bagi memperkenal dan melaksanakan pemindahan maklumat caruman majikan dan pekerja secara elektronik atau Electronic Data Intercharge (EDI) menggunakan kaedah konektiviti hos ke hos.
3.6.2    Takrif Gaji
Semua pembayaran berbentuk wang kepada pekerja dianggap sebagai gaji yang layak dicarumkan dengan PERKESO. Antara pembayaran-pembayaran berkenaan seperti:-

        i.            Gaji pokok
      ii.            Kerja lebih masa
    iii.            Komisen
 iv.       Bayaran-bayaran sewaktu cuti tahunan, sakit, bersalin, rehat, kelepasan am dan sebagainya
      v.            Elaun-elaun insentif, kelakuan baik, sara hidup dan sebagainya.
    vi.            Caj perkhidmatan (Service Charge)
Contoh:     
Gaji Pokok                  =    RM1000.00
Elaun kerja lebih masa            =     RM250.00
Elaun sara hidup                     =     RM100.00
Jumlah gaji                              =     RM1350.00

Caruman yang perlu dibayar kepada PERKESO adalah sebanyak RM30.40 (Rujuk Lampiran A - Jadual Caruman). Walau bagaimanapun, pembayaran-pembayaran berikut tidak dianggap sebagai gaji iaitu:

ü  Pembayaran oleh majikan kepada tabung kumpulan wang pencen atau kumpulan wang simpanan.
ü  Pembayaran ke atas tuntutan perjalanan
ü  Pembayaran ke atas persaraan atau pemberhentian pekerja
ü  Bonus tahunan.
3.7               Perlindungan Insurans Bencana Pekerjaan

Dengan merujuk kepada  buku rujukan dapatkan maklumat berkaitan dengan skim-skim perlindungan insurans bencana pekerjaan.

PERKESO mentadbirkan dua jenis skim keselamatan sosial iaitu Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat. Skim Insurans Bencana Pekerjaan memberi perlindungan kepada para pekerja daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit khidmat dan kemalangan semasa perjalanan berkaitan pekerjaan.Skim Pencen Ilat pula memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja terhadap keilatan atau kematian akibat sebarang sebab. Objektif kedua-dua skim keselamatan sosial ni adalah untuk menjamin pembayaran faedah tunai kepada pekerja dan orang tanggungannya apabila berlaku kejadian luar jangka menimpa pekerja berkenaan.

3.7.1    Skim Insurans Bencana Pekerjaan 
Skim Insurans Bencana Pekerjaan memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami Bencana Kerja. Bencana Kerja ertinya bencana berlaku pada seorang pekerja sendiri disebabkan oleh kemalangan atau suatu penyakit khidmat yang terbit daripada dan dalam masa menjalankan pekerjaannya dalam sesuatu perusahaan yang terhadapnya, Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969 terpakai.

Perlindungan
Skim Insurans Bencana Pekerjaan ini memberi perlindungan kepada pekerja terhadap:-

Kemalangan Semasa Menjalankan Pekerjaannya
ü  Kemalangan semasa menjalankan pekerjaan dan berpunca daripada pekerjaannya.

Kemalangan Semasa Dalam Perjalanan
ü  Di antara tempat kediaman dengan tempat kerjanya.
ü  Di antara tempat kerja dengan tempat makan dalam waktu rehat yang dibenarkan.
ü  Perjalanan yang berkaitan dengan pekerjaannya. (dengan syarat kemalangan itu tidak berlaku dalam masa apa-apa perhentian atau apa-apa lencongan pada waktu perjalanan itu).

Kemalangan Semasa Kecemasan
ü  Kemalangan yang berlaku sewaktu kecemasan di premis majikan bagi tujuan membantu, menyelamat atau melindungi orang-orang yang mendapat bencana. Contohnya kebakaran.

Penyakit Khidmat
ü  Penyakit yang berpunca akibat pekerjaannya. Senarai penyakit dan agen penyebab penyakit boleh merujuk di Jadual Kelima, Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969.
Contoh:
o   Hilang pendengaran akibat pendedahan bunyi bising yang berpanjangan.
o   Penyakit sesak nafas atau asma akibat tersedut habuk atau serbuk bagi pekerja-pekerja di kilang papan, bedak, tepung, dan sebagainya.
Insurans Bencana Pekerjaan
ü  Faedah Perubatan
ü  Faedah Hilangupaya Sementara
ü  Faedah Hilangupaya Kekal
ü  Elaun Layanan Sentiasa
ü  Faedah Pemulihan
ü  Faedah Orang Tanggungan
ü  Faedah Pengurusan Mayat
ü  Faedah Pendidikan

3.8       Hubungan dengan Institusi Pendidikan
Faedah Pendidikan ini merupakan suatu kemudahan pendidikan dalam bentuk pinjaman atau biasiswa kepada anak tanggungan seseorang orang berinsurans yang menerima bayaran faedah secara berkala yang memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan oleh PERKESO.
Syarat Permohonan
1.      Pemohon hendaklah Anak Tanggungan seseorang orang berinsurans yang:-
                    i.            Meninggal dunia kerana suatu bencana pekerjaan atau
                  ii.            Meninggal dunia atas apa-apa sebab sebelum berusia 55 tahun dan memenuhi syarat kelayakan Pencen Penakat; atau
                iii.            Menerima Pencen Ilat; atau
                iv.            Meninggal dunia semasa menerima Pencen Ilat; atau
                  v.            Menerima Faedah Hilangupaya Kekal secara berkala.
2.      Belum berkahwin
3.      Belum mencapai umur 21 tahun semasa permohonannya diterima oleh PERKESO
4.      Memenuhi syarat-syarat kelulusan akademik yang ditetapkan oleh PERKESO.
5.      Telah mendaftar diri untuk mengikuti pengajian di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan di peringkat ijazah, diploma atau sijil.
6.       Bagi pemohon yang menerima pengajian di IPTS, kolej berkenaan hendaklah telah beroperasi sekurang-kurangnya 2 tahun dan diluluskan oleh Jabatan Pendidikan Swasta (JPS), Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kursus yang diluluskan oleh Lembaga Akreditasi Negara (MQA).
7.      Bagi pemohon yang menerima pengajian di peringkat Sijil, tempoh pengajian kursus berkenaan hendaklah sekurang-kurangnya 1 tahun dan kursus yang diikuti hendaklah mendapat pentauliahan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK), Kementerian Sumber Manusia.
8.      Pengajian hendaklah keseluruhannya di dalam Malaysia dan bersifat sepenuh masa.
9.      Tidak mendapat tajaan biasiswa/pinjaman atau bantuan penuh pelajaran dari agensi lain.
10.  Kewangan keluarga tidak dapat menampung perbelanjaan pengajiannya.
Nota:
Orang-orang berikut tidak layak memohon pinjaman ini:

i. Pelajar sekolah rendah atau menengah
ii. Adik-beradik orang berinsurans
iii. Pelajar peringkat sarjana/matrikulasi/pra/asasi/foundation

Pelajar adalah bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan IPTS dan kursus yang diikuti telah mendapat kelulusan jabatan-jabatan yang berkenaan.
3.8.1    Kadar Dan Pembahagian Peruntukan Pinjaman
Peruntukan pinjaman bergantung kepada bidang pengajian yang diambil dan mengikut amalan Jabatan Perkhidmatan Awam, Malaysia seperti berikut:-

Yuran pengajian sebenar meliputi:-

ü  Yuran masuk dan pendaftaran
ü  Yuran pengajian
ü  Yuran peperiksaan
ü  Perbelanjaan lain              
a.       Perbelanjaan sara hidup
b.      Tambang kapal terbang
c.       Perbelanjaan buku
d.      Perbelanjaan alat perkakas
e.       Perbelanjaan penyediaan tesis
f.        Perbelanjaan latihan praktikal/amali
g.      Lain-lain yang ditetapkan oleh PERKESO dari semasa ke semasa.

3.8.2    Pembayaran Balik Pinjaman
        i.            Peminjam hendaklah membayar balik kesemua wang pinjaman yang telah diterima daripada PERKESO apabila tamat atau meninggalkan pengajiannya secara ansuran bulanan.
      ii.            Tempoh pembayaran balik adalah antara 2 hingga 25 tahun, bergantung kepada jumlah pinjaman yang telah diluluskan. (Sila rujuk Lampiran 1).
    iii.            Bayaran pertama bagi ansuran ini hendaklah bermula pada 1 haribulan bagi bulan ketujuh (7) daripada tarikh peminjam itu menamatkan atau meninggalkan pengajiannya atau lebih awal sekiranya telah bekerja sebelum genap tempoh berkenaan. 



No comments:

Post a Comment