Showing posts with label Tanaman hiasan dan sayuran. Show all posts
Showing posts with label Tanaman hiasan dan sayuran. Show all posts

Tuesday, October 16, 2012

Panduan menanam sayur



Pengenalan 

Sayur-sayuran sering ditanam di kawasan rumah atau secara komersial. Sayuran yang ditanam sendiri lebih selamat dimakan berbanding dengan sayuran yang ditanam secara komersial kerana bebas daripada racun. Sayuran sangat penting kepada manusia kerana ianya membekalkan vitamin, garam mineral, protein, karbohidrat dan lemak. 

Jenis Sayur-sayuran 

Sayur-sayuran boleh dibahagikan kepada empat jenis utama mengikut bahagian-bahagian makanan. 

daun  = bayam, sawi bunga, sawi putih, kobis dan kangkung 
kekacang = kacang botor/kelisa, kacang buncis, kacang tanah dan kacang panjang 
buah = bendi, cili, kundur, terung, petola, timun, tomato 
akar / umbisi = halia, lobak putih, lobak merah, ubi keledek, ubi sengkuang, keladi 


Pemilihan Tapak 

Terdapat faktor yang mempengaruhi pemilihan tapak pertanian antaranya termasuklah; 
  • berhampiran dengan bandaraya atau pekan bagi memudahkan proses pemasaran. 
  • berhampiran dengan sumber air bagi memudahkan penyiraman dan mencuci sebelum pasaran dilakukan. 
  • di kawasan yang luas dan lapang supaya cahaya matahari terkena terus kepada tanaman bagi tujuan fotosentisis dan akar pokok tidak bersaing untuk mendapatkan air dan nutrien. 
  • mempunyai kemudahan infrastruktur. 
  • mempunyai tanah yang rata supaya mudah pengurusan. Teres digunakan jika tanah bercerun. 
  • Jauh dari kawasan yang berpotensi untuk pembiakan agen perosak dan penyakit. 
  • berdekatan dengan rumah bagi memudahkan pengurusan dan mengelakan kecurian 

Penyediaan tapak 

Tanah di Malaysia sering mengalami suhu tinggi dan hujan lebat.Oleh iitu pemuliharaan tanah perlu untuk kesuburan tanah. Kesuburan tanah adalah satu konsep umum dan ditakrifkan sebagai keupayaan sesuatu tanah untuk menampung pengeluaran hasil tanaman yang memuaskan. Tanah akan terjejas jika mempunyai sifat seperti berikut: 

Kandungan nutrien yang rendah – kawasan tropika sering mengalami kadar proses luluhawa dan larut resap menyebabkan kandudngan nutrien tanah tidak mencukupi. 

Keadaan tanah berasid – tanah asid sulfat dan tanah gambut ialah dua jenis tanah yang bermasalah di Malaysia kerana pH yang lebih rendah. Tanah asid sulfat kurang subur dan tanaman yang ditanam di tanah ini biasanya mengalami ketoksidan aluminium, ferum dan mangan. Tanah gambut bermasalah kerana kekurangan beberapa mikronutrien seperti kuprum, mangan, zink, ferum, molibdenum dan boron. 

Tanah berlempung – mengandungi tanah liat yang tinggi. Tanah ini menjadi lekit apabila basah dan berketul bila kering. Kadar saliran dan kadar peresapan air sangat rendah. 

Tanah berpasir – tanah berpasir seperti tanah bekas lombong dan tanah Bris mengalami
saliran lampau sehingga kandungan air tidak mencukupi untuk keperluan tanaman.Tanah
ini tidak mempunyai struktur yang boleh memegang tumbuhan dan kurang daya penahan air
dan pH tanah jenis ini adalah antara 4.3 hingga 5.8. 

Secara umumnya tanah untuk sayuran hendaklah mengandungi tanah peroi, mempunyai
saliran yang baik, menyimpan nutrient, kelembapan yang sederhana dan tidak terlalu berasid. 

Penyediaan batas 

Kawasan pertanian yang dipilih perlu disediakan untuk tujuan penanaman sayur-sayuran seperti : 
  • Membuang rumpai dan batu batan 
  • Membakar rumpai bagi mengelakkan serangga perosak dan penyakitmembiak. Abunya boleh digunakan sebagai baja. Rumput yang kering pula boleh digunakan sebagai sungkupan. 
  • Gali dan terbalikkan tanah sedalam 25-30 cm bagi tujuan menggembur tanah, membunuh haiwan perosak dan akar-akar rumpai. 
  • Gemburkan tanah kepada gemburan yang lebih halus bagi memperbaiki saliran dan pengudaraan tanah. 
  • Bina batas samada batas rata dengan ketinggian 15 – 25 cm atau batas tunggal berketinggian 20 – 25 cm.

Sungkupan 

Sungkupan bermakna penutupan batas dengan bahan-bahan yang sesuai seperti rumput yang dipotong, daun, pelepah dan kompos.Lapisan sungkupan mestilah jangan terlalu tebal sebab ia akan mengelakkan anak benih dari bercambah dan menggalakkan haiwan perosak dan penyakit. 

Sebab-sebab sungkupan diperlukan adalah untuk; 

  1. mengurangkan suhu tanah: – suhu tanah yang tinggi menyebabkan sejatan yang keterlaluan dan juga membunuh hidupan tanah yang berguna. 
  2. menjaga tanah supaya sentiasa lembab: - air yang dipelihara akan didapati oleh anak benih dan hidupan tanah. 
  3. mengelakkan tanah daripada terlalu keras dan padat:- tumbesaran akar adalah sukar dan hidupan tanah mendapati sukar untuk hidup di dalam tanah yang keras dan padat. 
  4. mengelakkan tumbesaran rumpai 
  5. mengelakkan hujan lebat dari menghakis tanah atau menghanyutkan biji benih atau anak benih. 
  6. bertindak sebagai baja organan apabila ia reput. 

Pemilihan biji benih 

Pemilihan biji benih perlu dilakukan dengan sempurna dan teliti bagi menjamin kadar percambahan dan pertumbuhan anak benih yang sihat seterusnya membawa pulangan yang tinggi. 

Ciri-ciri biji benih yang baik 

· Besar dan berisi penuh supaya anak benih sihat. 

· Cukup matang dan bernas supaya kadar percambahan tinggi. 

· Bebas dari haiwan perosak dan penyakit agar peratus percambahan menjadi tinggi. 

· Tidak rosak atau cacat. 


Kaedah penyimpanan biji benih sayur-sayuran 

· Keringkan biji benih supaya tidak bercambah dan tidak diserang penyakit. 

· Simpan di dalam bekas kedap udara bagi mengelakkan serangan haiwan perosak. 

· Labelkan biji benih supaya mudah dikenali. 

· Simpan ditempat yang kering dan sejuk bagi mengelakkan kerosakan. 

· Gaulkan racun serangga dan racun kulat bagi mengelakkan 


Penyemaian biji benih 

Cara menyemai biji benih adalah bergantung kepada saiznya.Terdapat tiga cara penyemaian: 

1. Semaian terus biji benih besar 

· Semaian terus secara tetap pada jarak yang tertentu. 

· Sebelum menyemai biji benih peraturan berikut perlu di patuhi : 

· Rendamkan biji benih seharian untuk mempercepatkan percambahan 

· Tanam sebiji atau dua biji selubang 

· Selepas bercambah, lakukan penjarangan. 


2. Semaian terus biji benih kecil 

Menyemai sayuran berbiji benih kecil seperti jenis daun, cili tomato, terus dan lain-lain boleh menggunakan dua cara: 


3. Semaian terus ke batas tetap. 

· Kaedah alur - buat alur yang cetek dengan jarak tertentu 

· Tabur sedikit ke alur dan timbuskan sedikit dengan tanah. 

· Beri perlindungan (sungkupan) dan air. 

· Selepas percambahan, jarangkan anak benih dan tinggalkan pokok pada jarak tertentu. 


4. semaian biji benih halus di dalam kotak semaian 

Kebaikan menyemai di dalam kotak semaian semaian 

· penjagaan anak benih lebih mudah 

· anak benih yang sihat boleh dipilih untuk diubah ke batas tetap. Ini memastikan hasil yang bertambah. 

· anak benih yang sama saiz boleh dipilih dan akan memberi tumbesaran yang sama. 

· Pokok yang rosak dibatas tetap mudah diganti dari batas semaian. 


5. Menyemai cara semai tabur 

Teknik menyemai secara semai tabur adalah seperti berikut, 

· tabur biji benih atas batas dan timbus dengan lapisan tanah yang nipis. 

· beri perlindungan (sungkupan) dan air. 

· selepas percambahan, jarangkan anak benih dan tinggalkan pokok pada jarak tertentu. 


Penjarangan 

Satu proses pembuangan anak benih / pokok yang tumbuh terlalu rapat di antara satu sama lain. Sebab-sebab penjarangan adalah untuk mengurangkan anak benih/ pokok bersaing untuk mendapatkan cahaya, air dan nutrien. Disamping itu untuk menentukan tumbesaran yang sekata dan hasil yang tinggi. 
Penjarangan dilakukan dengan mencabut pokok atau memotong batang dengan pisau yang tajam.

Menyulam 

Satu proses mengubah anak benih di bahagian yang terlalu jarang di antara anak pokok. Sekiranya anak pokok terlalu jarang di batas atau tapak penanaman, akan berlaku pembaziran tempat dan akan merendahkan pengeluaran hasil serta kos akan meningkat. 

Adakalanya terdapat juga anak benih yang tidak bercambah, mati, diserang perosak, terbantut tumbesaran atau tidak sihat, anak benih ini perlu dibuang dan diganti. Proses ini dinamakan Penyulaman Anak Benih. 

Penanaman

Penanaman adalah penting bagi mengurangkan persaingan dan juga untuk memudahkan kerja penjagaan. Berikut adalah beberapa sistem yang biasa diigunakan dalam penanaman sayuran.

Mengubah

Proses menanam semula anak benih/pokok ke tempat yang lain. Biasanya anak benih dari batas semaian diubah ke batas tetap. 

Teknik mengubah anak benih adalah seperti berikut ; 

· Segarkan anak benih sebelum diubah 

· Lakukan waktu pagi atau petang 

· Siram batas semaian untuk lembutkan tanah dan untuk mengelakkan dari tanah pecah semasa mengubah. 

· Dengan menggunakan sudip, cungkil tiap-tiap anak benih dengan ketul tanah di sekeliling akar. 

· Mesti dilakukan dengan cermat untuk mengurangkan kerosakan akar. 

· Tanam anak benih di batas tetap pada jarak yang disyorkan 

· Tekan tanah disekeliling anak benih padat-padat supaya akar dapat pegangan yang kuat. 

· Bekalkan perlindungan dan air. 

· Buangkan perlindungan sedikit demi sedikit selepas beberapa hari 

Naungan 

Naungan perlu diberikan kepada anak benih muda atau baru diubah untuk mengurangkan pancaran cahaya matahari yang terik ke atas anak benih. Cahaya matahari yang terik mungkin menyebabkan anak benih layu dan mati. Naungan dapat mengelakkan timpaan hujan yang terus ke atas anak benih muda yang akan merosak atau menghanyutkan anak benih. 

Bahan-bahan biasa yang digunakan untuk naungan ialah pelepah kelapa, lalang/rumput yang dipotong, kertas plastik dan jaring.Naungan janganlah terlalu tinggi kerana cahaya matahari yang terik dan air hujan boleh masuk menerusi tepi naungan. Naungan haruslah sedikit demi sedikit dibuang ketika anak benih membesar.Ini akan membolehkannya menerima cahaya matahari untuk membina makanan. 

Penjagaan tanaman sayuran 

Penjagaan tanaman sayuran meliputi aktiviti berikut: 

1. Menyiram 

Penyiraman perlu dilakukan dua kali sehari iaitu disebelah pagi dan petang. Penyiraman penting bagi membantu melarutkan nutrien di dalam tanah untuk diserap oleh akar pokok. Disamping itu juga air diperlukan oleh tumbuhan untuk kesegahan sel-sel dan juga untuk kesegaran tumbuhan. Siraman jangan dilakukan terlalu kuat sehingga merosakkan anak benih dan menghanyutkan tanah. Untuk tujuan itu kita perlu menggunakan penyiram yang mempunyai lubang siraman yang halus.

2. Merumput

Rumpai adalah semua jenis tumbuhan yang tidak dikehendaki. Merumput adalah untuk mengelakkan persaingan diantara rumpai dengan sayur-sayuran dalam mendapatkan nutrien, air, cahaya dan ruang. Merumput juga dapat memusnahkan tempat tinggal dan tempat pemb
perosak dan agen penyakit. Pengawalan rumpai hendaklah dilakukan semasa penyediaan tanah dan pada peringkat tumbesaran anak benih sayur-sayuran. Rumpai kecil boleh dicabut dengan tangan. Rumpai besar atau terlalu banyak boleh dicabut dengan menggunakan serampang tangan. Tajak boleh digunakan untuk membuang rumpai di lorong batas. Jika saiz ladang luas, rumpai boleh dikawal secara kimia.

3. Membaja

Sayur-sayur memerlukan makanan atau nutrien untuk tumbesaran yang sihat. Terdapat tiga jenis nutrien yang utama iaitu nitrogen, fosforus dan kalium (NPK). Kalsium, magnesium dan sulfur juga diperlukan oleh sayur-sayuran tetapi dalam kuantiti yang sedikit. Nutrien tanah yang telah berkurangan boleh ditambah dengan cara membaja. Baja yang boleh digunakan ialah baja organik dan baja kimia.

4. Membuat sokongan

Setiap jenis sayur-sayuran mempunyai tabiat tumbesaran yang berbeza. Ada yang menjalar, melilit atau mempunyai batang yang lemah. Sayur-sayuran yang memanjat seperti timun dan kacang panjang memerlukan kayu pancang, sementara sayur-sayuran yang berbatang lemah memerlukan sokongan untuk menyokong buahnya yang berat.

Tujuan utama memberi sokongan adalah supaya pokok boleh mendapat cahaya matahari yang secukupnya. Selain itu, ia juga akan memudahkan kerja pengurusan seperti merumput, membaja, memungut hasil dan mengelakkan buahnya daripada menjadi kotor kerana terkena tanah.

5. Mengawal Perosak dan penyakit 

Haiwan perosak atau hidupan lain yang menyerang sayur-sayuran boleh menjejaskan mutu sayur-sayuran. Di samping itu ia juga boleh membantutkan tumbesarannya. Kebanyakan perosak sayuran adalah dari kumpulan serangga. Manakala penyakit pula biasanya di sebabkan oleh kulat dan bakteria. Oleh itu perosak atau agen penyakit ini perlu dikawal bagi mendapat hasil yang bermutu tinggi

Sayuran yang diserang penyakit selalunya kelihatan melecur ataupun kelihatan daunnya bertompok-tompok kehitaman. Tanda diserang perosak pula ialah daun yang berlubang atau tepinya telah di makan ulat. Perosak yang biasa menyerang sayur-sayuran ialah ulat beluncas, siput babi, kutu daun, kumbang, pianggang, koya, teritip dan bari-bari. 

6. Penyakit-penyakit biasa sayur-sayuran 

Penyakit yang biasa menyerang sayur-sayuran pula ialah melecur anak benih, bintik daun dan layu bakteria. Berikut adalah jadual yang menerangkan penyakit-penyakit yang biasa terdapat pada sayur-sayuran di Malaysia: 


Melecur anak benih =Kulat =Anak benih layu dan mati 

Reput akar =Kulat atau bakteria =Pokok layu dan mati 

Bintik daun =Kulat =Daun dengan bintik perang atau hitam 

Layu bakteria =Bakteria =Urat daun menjadi hitam.Pokok akan layu dan mati 

Kulapok =Bakteria =Daun yang diserang layu dan mati. 

Karat batang/ daun atau lengai =Kulat =Tompok kuning/perang daun yang dijangkiti akan jatuh. 


Memungut hasil 

Hasil sayur-sayuran boleh dipungut mengikut kehendak pengguna. Oleh itu memungut hasil pada masa yang sesuai adalah penting. Sebagai contoh, jika sayuran jenis daun dipungut terlalu awal, hasilnya adalah rendah. Sebaliknya jika lewat dipungut, hasilnya banyak tetapi mutunya rendah kerana mengandungi serat kasar. 

Masa memungut hasil 

Masa yang sesuai untuk memungut sayur-sayuran adalah pada waktu pagi atau lewat petang. Ini bertujuan untuk mendapat hasil yang segar dan memuaskan.

Panduan Memungkut Hasil Sayuran 


  • Sawi = 4 hingga 6 minggu ,Cukup besar tetapi belum berbunga 
  • Timun =4 hingga 6 minggu ,Buahnya muda tetapi belum bertukar menjadi warna kekuning-kuningan 
  • Kacang panjang =6 hingga 8 minggu ,Lengai mudah di patahkan tetapi bijinya belum terbunjul keluar 
  • Sengkuang =20 hingga 24 minggu ,Daun mula menjadi kuning dan gugur. 


Cara memungut yang betul ; 

· memotong dengan pisau / sekatur 

· contoh - bendi, kundur, peria, petola, timun, labu 

· mencabut 

· contoh - sayuran jenis daun, sayuran jenis akar atau umbisi. 

· memetik contoh - sayuran kekacang, cili, terung, tomato dan lain-lain. 

· menggali dengan cangkul/serampang 

· contoh - sayuran jenis akar / umbisi seperti keledek, keladi, sengkuang dan lain-lain 

Pemasaran

Sayuran yang dipungut mestilah dibasuh, digredkan, dan dibungkus dengan sempurna sebelum dipasarkan. Sayuran perlu dipasarkan segera. 


Rumpai - Kebaikan, Keburukan & Pengawalan


PENGENALAN 

Rumpai ialah spesies tumbuhan renik, rendah atau tinggi, baik yang tumbuh menegak, melata mahupun yang menjalar bebas dan muncul di tempat-tempat yang tidak dimaksudkan untuknya. Boleh dikatakan rumpai bukanlah tanaman yang sengaja ditanam tetapi muncul secara sendiri atau dibawa oleh pelbagai vektor (pembawa) tanpa disedari. 

Pada amnya, rumpai boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu: 

· rumpai perosak, 
· rumpai yang mempunyai kegunaan ekonomi, 
· rumpai yang bersifat neutral. 

Namun, kualiti sifat-sifat rumpai ini akan berubah mengikut keadaan tertentu. 

KEGUNAAN DAN KEBAIKAN RUMPAI 
  1. mengurangkan hakisan. Ini boleh dilihat apabila rumpai ini digalakkan atau dibiarkan tumbuh dengan bebas di kawasan-kawasan yang terdedah atau diancam hakisan. Ia juga kerapkali dibiar tumbuh untuk membaik pulihkan kawasan yang telah diteroka. Ini seperti Acroceras munronum (rumput rintik rapat) yang dibiarkan tumbuh dilereng-lereng bukit sepanjang lebuh raya. 
  2. dijadikan makanan haiwan ternakan seperti lembu, kambing, kuda, dan babi. Rumpai yang digunakan ialah seperti Paspalum dilatatum, rumput yang penting untuk ternakan yang terdapat di kawasan pantai Australia. Rumpai laut seperti Luminaria dan Fucus juga dijadikan makanan haiwan ternakan. Malah di Ireland dan Scotland terdapat industri pemprosesan rumpai untuk tujuan ini. 
  3. makanan untuk manusia. Ini boleh dilihat apabila manusia menyedari bahawa beberapa rumpai laut terutama alga merah dan alga perang boleh dijadikan sebahagian daripada diet. Namun cara memakannya berbeza-beza bergantung kepada kebudayaan masing-masing. Rumpai laut ini boleh dimakan mentah, dimasak atau dikeringkan. Tumbuhan ini merupakan sumber yang baik bagi beberapa vitamin dan mineral selain mempunyai kandungan protein yang tinggi. Ini seperti rumpaiGracilaria coronopifolio (alga merah) dan Entermorha prolifera (alga hijau). 

KEBURUKAN RUMPAI 

Rumpai melalui takrifnya sendiri cukup mengambarkan yang ia suatu tumbuhan yang banyak memberi masalah, kerugian atau memberi kesan buruk kepada manusia dan juga haiwan. Kesan-kesan buruk ini mungkin dapat dilihat secara langsung atau tidak langsung. Walau bagaimanapun, akan diterangkan secara umum keburukan akibat rumpai ini. Perbincangan tidak akan hanya berkisar kepada kerugian yang dialami dalam sektor pertanian sahaja tetapi akan dibincangkan juga keburukannya kepada aspek-aspek lain. Kerugian yang ditimbulkan oleh rumpai sukar dinilaikan terutama kerugian yang wujud secara tidak langsung. 

Keburukan akibat rumpai adalah seperti kesan buruk rumpai keatas bidang pertanian, kesan rumpai kepada manusia dan haiwan, kesan rumpai keatas pengaliran air sungai dan kolam, dan lain-lain kesan lagi. 



KESAN RUMPAI KEPADA SEKTOR PERTANIAN 

Rumpai menimbulkan kesan yang sangat jelas ke atas pengeluaran hasil pertanian. Ini kerana rumpai biasanya lebih agresif dan dapat menyesuaikan pertumbuhannya walaupun dalam keadaan yang kurang baik. Sifat begini biasanya dipunyai oleh kebanyakan spesies rumpai yang hidup di dalam kawasan pertanian. Selain daripada sifat yang dinyatakan itu, rumpai juga mempunyai beberapa sifat lain yang agak istimewa berbanding dengan tanaman. Kesemua sifat ini akan menolong rumpai untuk bersaing dengan tanaman. Rumpai lebih berjaya dalam persaingan terhadap nutrien, air, karbon dioksida, dan cahaya jika dibandingkan dengan tanaman. Ini menyebabkan kemerosotan hasil dalam kebanyakan kawasan pertanian. Dalam tanaman tertentu, rumpai menyebabkan peratus kemerosotan yang sangat tinggi. Ini seperti rumpai Echinochloa crus-galli yang tumbuh dalam sawah dan bersaing dengan pokok-pokok padi dan akan mengakibatkan pengeluaran padi merosot. 

Rumpai selain daripada mengurangkan hasil ia juga akan menjejaskan kualiti tanaman disamping meningkatkan kos pengeluaran. Ini kerana biji atau serpihan daripada rumpai sering bercampur dengan hasil tuaian. Ini sering berlaku semasa menuai tanaman bijirin dengan menggunakan alat jentera. Bijirin yang tercemar dengan biji-biji rumpai mempunyai harga pasaran yang rendah. Contohnya, padi yang bercampur dengan biji-biji 

rumpai akan dikelaskan dengan gred yang rendah. Malah bahagian-bahagian tanaman yang bercampur dengan biji-biji rumpai akan menyebabkan kerosakan semasa penyimpanan. Serpihan rumpai biasanya lembap dan semasa pereputan haba akan terbebas dan kulat pada serpihan rumpai boleh menjangkiti tanaman dan merosakkannya. Semua ini akan menjejaskan kualiti tanaman. 

Rumpai turut meningkatkan kos pengeluaran kerana penggunaan buruh dan racun rumpai bagi mengawal pertumbuhannya. Merumput rumpai perlu dilakukan terutama dalam peringkat tertentu dalam masa pertumbuhan tanaman. Misalnya, dalam tanaman kacang tanah,rumpai perlu sentiasa dijaga rapi dalam tempoh 4 minggu pertama. Jika ia tidak dijaga rapi dalam tempoh ini, maka pertumbuhan pokok akan terencat. Ini akan merugikan petani. 


KESAN RUMPAI KE ATAS MANUSIA DAN HAIWAN 

Tikus merupakan pembawa penyakit sampar dan gemar hidup di kawasan belukar. Kuman penyakit ini iaitu sejenis bakteriaYarsinia pestis, berjangkit daripada seekor tikius kepad seekor tikus yang lain oleh sejenis kutu Xenopsylla cheopsis. Apabila tikus ini mati, kutu tikus pembawa ini boleh menjangkiti manusia dan menyebabkan penyakit tersebut. Biasanya rumpai yang hidup berhampiran air, misalnya Eichhornia crassipes menjadi tempat yang sesuai kepada tikus pembawa kuman tersebut. Terdapat banyak lagi contoh yang menunjukkan rumpai boleh menjadi habitat kepada vektor. Misalnya lalat Stomoxys dan Tabanus hidup di kawasan belukar dan membawa Trypanosoma evansi yang boleh menyebabkan penyakit surra pada lembu. 

Terdapat juga rumpai yang mengandungi sebatian kimia yang boleh menyebabkan keracunan kepada manusia dan haiwan ternakan yang memakannya. Ada spesies rumpai yang mengandungi aras oksalat larut yang tinggi seperti Halogetonglomeratus dan terdapat juga rumpai yang mengandungi asid hidrosianik seperti Prunus. Selain bahan-bahan tersebut terdapat beberapa lagi bahan beracun yang boleh didapati pada rumpai. Bahan-bahan beracun ini boleh didapati terkumpul di bahagian biji, beri, umbisi atau daun. Di Afrika Selatan, biji-biji Senecio sp.yang bercampur dengan gandum telah menyebabkan keracunan kepada manusia. 

Daripada beberapa contoh di atas jelas menunjuk adanya hubungan rumpai dengan kesihatan dan keracunan terhadap manusia dan haiwan ternakan. 


KESAN RUMPAI KE ATAS PENGALIRAN AIR SUNGAI DAN KOLAM 

Rumpai akuatik tidak kurang juga menimbulkan masalah dalam sistem perparitan di negara ini. Rumpai-rumpai seperti Lemna, Pistia, dan Eichhornia crassipes, menimbulkan pelbagai masalah yang perlu dikawal setiap masa kerana ia hidup dalam parit dan kolam-kolam boleh menyekat pengaliran air. Perahu tidak dapat bergerak dalam sungai-sungai yang dipenuhi dengan rumpai akuatik. Keadaan ini akan mengganggu laluan di sungai yang merupakan sistem perhubungan yang penting disesetengah kawasan. 

Ikan juga sukar untuk hidup di kolam-kolam yang ditumbuhi dengan rumpai seperti Lemna, Pistia, dan Salvinia di permukaan airnya. Disebabkan kandungan oksigen di dalam air ini sangat rendah serta kekurangan cahaya menyebabkan ikan tidak sesuai untuk hidup. 


KESAN-KESAN RUMPAI YANG LAIN 

Rumpai juga memberi kesan keatas penjagaan kawasan rekreasi, taman dan padang permainan. Kewujudan rumpai di kawasan tersebut akan mencacatkan pemandangan dan menyukarkan pergerakan. Ia juga akan mencacatkan kecantikan sesuatu kawasan tersebut. 

Selain itu rumpai turut memberi kesan ke atas kualiti ternakan. Ini boleh dilihat apabila haiwan ternakan seperti lembu tenusu telah menghasilkan susu yang rendah kualitinya. Ini kerana rumpai seperti rumpai dari genus Allium spp. yang terdapat di padang-padang ragut. 


PENGAWALAN RUMPAI 

Rumpai boleh menyebabkan kerugian yang besar dalam penghasilan tanaman, dan keindahan alam sekitar. Oleh yang demikian rumpai perlulah dikawal pertumbuhannya. Terdapat pelbagai kaedah pengawalan rumpai yang boleh digunakan. Antaranya, kawalan secara mekanik, kawalan secara biologi, kawalan secara pencegahan melalui amalan yang baik dan kawalan secara menggunakan racun rumpai. 


KAWALAN MEKANIK 

Kawalan secara mekanik ialah termasuk kawalan dengan tangan seperti mencabut, mencangkul, menebas keluar rumput daripada tanah (jika kawasan kecil). penggunaan mesin pemotong, bajak, penggembur sesuai digunakan sekiranya kawasan pertanian yang luas. ini memudahkan lagi kerja pengawalan di samping menjimatkan masa, kos, dan tenaga manusia. 


KAWALAN BIOLOGI 

Kaedah pengawalan ini melibatkan penggunaan haiwan seperti kulat, parasit, bakteria dan pelbagai organisma lagi. Kaedah ini juga melibatkan penggunaan binatang ternakan seperti lembu, kambing,biri-biri dan kerbau. Kaedah ini sesuai terutama di kawasan padat dengan rumpai. 

AMALAN LADANG YANG BAIK (GAP) 
Pembiakan rumpai dapat dikawal jika beberapa langkah pengawalan telah dilakukan diperingkat awal lagi, seperti menggunakan biji benih yang bermutu tinggi dan bersih daripada biji benih rumpai. Menggunakan alat-alat pembajak, yang bersih dan dicuci selepas menggunakannya. Selain itu pastikan biji rumpai yang telah di potong tidak dibuang merata tempat sehingga boleh bercampur semula dengan biji benih tanaman. Sekiranya petani mengamalkan GAP ini ,berkemungkinan tanaman mereka menghasilkan hasil yang baik boleh ditingkatkan. 


KAWALAN RACUN RUMPAI 

Penggunaan racun rumpai dalam mengawal pertumbuhan adalah suatu kaedah yang dapat menjimatkan kos dan masa serta sering digunakan dalam bidang pertanian pada masa ini. Penggunaan racun rumpai yang baik dan sesuai dapatmenghalang pembiakkan dan memusnahkan rumpai di kawasan pertanian. 

Racun rumpai yang digunakan boleh berbentuk organik dan bukan organik. 


KESIMPULAN 
Rumpai walaupun melalui takrifnya membawa makna kepada yang lebih buruk daripada memberi kesan baik atau kebergunaan, ia tetap penting kepada ekosistem bumi kita. Rumpai boleh di kawal dan pengawalan yang betul dapat menjimatkan kos, masa , dan tenaga. Rumpai juga menjadi sumber makanan kepada manusia dan haiwan ternakan. 



Kompos


Kompos boleh dibuat menggunakan bahan-bahan buangan dan najis binatang peliharaan.Kebaikan kompos ialah ianya mudah dibuat dan membekalkan tumbuhan dengan berbagai nutrien. Kompos yang ditambah di atas tanah juga mengurangkan hakisan tanah asli dan membantu penyerapan air. 

Kompos boleh dibuat sendiri melalui cara-cara berikut: 

· Sebaiknya gali lubang kerana tanah yang digali akan diperlukan untuk membuat kompos.Tetapi kompos boleh juga dibuat di atas permukaan tanah. 

· Masukkan bahan buangan dan najis binatang peliharaan ke dalam lubang dan ratakan 

· Jika perlu, tambahkan sedikit quicklime untuk meneutralkan bahan buangan yang terlalu berasid 

· Lapis bahan buangan dengan lapisan tanah dan diikuti dengan satu lagi lapisan bahan buangan 

· Buat beberapa lapisan bahan buangan – tanah dan akhiri dengan lapisan tanah 

· Biarkan kompos selama lebih kurang sebulan untuk pereputan 

· Periksa suhu dan apabila suhu kompos sama dengan suhu tanah biasa, kompos boleh digunakan.


Fertigasi


Fertigasi , berasal daripada gabungan perkataan (fertilizer= baja + irrigation = pengairan) , sistem ini hanya menyalurkan larutan nutrien yang diperlukan oleh tumbuhan dengan menggunakan pam atau graviti dari tangki larutan nutrien ke tanaman-tanaman yang ditanam di dalam polibeg menggunakan bahan lengai seperti sekam padi bakar, cocoa peat dan sabut kelapa sebagai medium. 

Sistem fertigasi kini menjadi lebih mudah dan maju dengan adanya teknologi terbaru. Gabungan pengetahuan mengenai baja, peralatan dan strategi pengurusan nutrien yang efektif, menjadikan teknik fertigasi semakin diminati untuk diceburi. Teknologi fertigasi memerlukan individu untuk belajar beberapa prinsip sebelum memulakan projek untuk mengelakkan masalah di kemudian hari antaranya ialah: 

· pengetahuan mengenai komposisi baja, perbezaan unsur dalam baja dan bahan baja. 

· peralatan yang digunakan untuk sistem fertigasi mestilah bersesuaian dengan kuantiti tanaman dan penggunaan baja. 


Adalah penting untuk memilih teknik dan peralatan yang sesuai dengan sistem pengairan dan jenis tanaman. Pemilihan teknik dan peralatan yang tidak sesuai akan merosakkan sistem pengairan dan seterusnya memberi kesan kepada operasi dan mengurangkan hasil tanaman.

Seperti teknologi tanaman yang lain, fertigasi juga ada kebaikannya. Antaranya ialah teknologi fertigasi tidak memerlukan kawasan yang luas kerana tiada lagi penggunaan tanah. Bukan itu sahaja, masa penanaman juga akan menjadi pendek dan ini bermakna lebih pusingan tanaman dalam tempoh setahun. Selain itu, kerja berat yang membebankan dapat dikurangkan dan penggunaan air dapat dijimatkan. Malah, serangan serangga dan penyakit tanaman mudah dikawal dengan menggunakan racun yang minimum. 

Namun, fertigasi memerlukan kos permulaan yang tinggi dan perlukan sedikit pengetahuan untuk memulakannya. Selain itu, kaedah fertigasi juga memerlukan kemudahan asas seperti elektrik dan sumber air bersih yang secukupnya. Bukan itu sahaja, tidak semua jenis tanaman sesuai ditanam dengan menggunakan kaedah fertigasi kerana tempoh masa matang yang panjang dan pasaran yang terhad. 


Kebaikan Sistem Tanaman Fertigasi 

· Pembesaran pokok sekata disebabkan pemberian baja mengikut pertubuhan pokok dan hasilnya tinggi 

· Pemberian baja tidak membazir disebabkan baja hanya diberi dalam kawasan zon akar yang diperlukan 

· Pokok tahan dari serangga penyakit bakteria yang berpunya dari dalam tanah kerana tanaman ditanam dalam polybeg 

· Tanaman boleh diprogramkan mengikut musim dan tempat. 

· Kos pengendalian dan kaedah merumput dan meracun boleh dikurangkan dan dikawal 

· Tidak memerlukan tenaga berat dan tanaman bersih dan persekitarannya indah dan cantik 

· Hasil tinggi dan pendapatan lumayan kerana tanaman terpilih sahaja ditanam. 

· Boleh ditanam sepanjang tahun dan pulangan modal cepat. 


Kelemahan Sistem Fertigasi 

· Kos Penyediaan dan Pembinaan yang tinggi 

· Pengusaha memerlukan kemahiran dalam bidang tanaman fertigasi 

· Pengurusan yang berterusan. 

· Kerosakan sistem membawa kerugian.






Pokok keladi