Showing posts with label murid dan alam belajar. Show all posts
Showing posts with label murid dan alam belajar. Show all posts
Tuesday, October 16, 2012
Jenis-jenis pembelajaran
Sekarang mari kita melihat pula jenis-jenis pembelajaran yang dikemukakan oleh Gagne (1985). Gagne mendefinisikan pembelajaran sebagai ”a change in human disposition or capability, which persist over period of time and which is not simply ascribe to processes of growth”.
Dalam bukunya, Gagne (1985) telah mencadangkan lima jenis pembelajaran utama yang mana setiap satunya memerlukan cara pengajaran yang berbeza. Kelima-lima jenis pembelajaran tersebut ialah :
1. Kemahiran intelek
Kemahiran intelek merujuk kepada pengetahuan ’procedural ’ seseorang individu. Gagne (1985) telah menganalisis satu episod pembelajaran yang terdiri daripada pelajar, suatu situasi rangsangan yang merupakan episod-episod yang merangsang deria pelajar dan satu tindakan atau respons yang terhasil akibat rangsangan.
Antara kategori kemahiran intelek yang dikemukakan oleh Gagne ialah :
a) Pembelajaran Isyarat - dimana individu bertindak balas terhadap terhadap sesuatu signal.
b) Pembelajaran Hukum - melibatkan gabungan dua atau lebih konsep yang berkaitan dalam sesuatu urutan atau rangkaian.Melalui pembelajaran ini, pelajar dapat menerangkan konsep, menggunakan rumus,prinsip dan membuat generalisasi.
c) Pembelajaran Konsep - iaitu kebolehan untuk mengklafikasikan objek dan peristiwa mengikut ciri-ciri tertentu.
d) Pembelajaran Diskriminasi - belajar membezakan benda mengikut ciri tertentu, untuk memudahkan proses mengkategori dan menyimpannya dalam ingatan.
e) Penyelesaian Masalah - pembelajaran ini melibatkan penggunaan prinsip, rumus, generalisasi, konsep dan hukum untuk menyelesaikan masalah dalam sesuatu situasi baru.
f) Rantaian – satu rantaian dua atau lebih perkaitan rangsangan – respons dikuasai
g) Asosiasi Verbal – satu pembelajaran rantaian berbentuk verbal
Kebanyakan idea Gagne tentang analisis tugasan menunjukkan pembelajaran berlaku secara berperingkat (hierarchy) iaitu bergerak daripada peringkat paling mudah kepada peringkat paling kompleks.Perkara penting dalam hierarki ini ialah mengenal pasti prasyarat yang harus disempurnakan untuk memudahkan cara pembelajaran pada setiap peringkat.
2. Maklumat Verbal
Pembelajaran jenis ini merujuk kepada kebolehan seseorang mengungkap sesuatu peristiwa atau fakta sama ada secara lisan atau tulisan.Untuk membolehkan seseorang individu dapat melakukan sedemikian, dia perlu mempunyai kemahiran intelek dalam mengungkap atau menyebut sesuatu pernyataan, konsep,prinsip-prinsip atau prosedur.



3 Strategi kognitif
Strategi kognitif pula merupakan kemahiran-kemahiran di mana pelajar dapat mengawal sendiri proses -proses dalaman seperti memberi perhatian, belajar,mengingat dan memikir sesuatu.Untuk membolehkan kemahiran intelek ini diperoleh, pelajar perlu menguasai pelbagai strategi seperti strategi mengingat, strategi berfikir dan strategi mengingat kembali perkara yang telah dipelajari.
4. Kemahiran Psikomotor
Merupakan kebolehan untuk melakukan pergerakan fizikal mengikut urutan dengan tepat dan betul. Pembelajaran jenis ini melibatkan beberapa tahap iaitu pelajar akan belajar urutan yang berkenaan, kemudian mengamalkan pergerakan psikomotor tersebut dan akhirnya pemurnian pergerakan tersebut berasaskan maklum balas daripada persekitaran mereka.
5. Sikap
Gagne (1985) menyatakan sikap merujuk kepada keadaan dalaman yang mempengaruhi pilihan tindakan seseorang. Sikap seseorang dapat diperlihatkan melalui tingkah laku yang ditunjukkannya.Sikap boleh dipelajari dan dikuasai melalui pengalaman dan pemerhatian.Untuk memupuk sikap yang diingini, guru perlu mengaitkan kejayaan dengan sikap yang tertentu atau penggunaan model yang boleh memupuk sertai mengukuhkan tingkah laku positif.Selain itu, perlu pengukuhan supaya tingkah laku yang diingin dapat dimanifestasi.
prinsip-prinsip pembelajaran
PRINSIP – PRINSIP PEMBELAJARAN EWELL (1997)
Ewell (1997) telah membentuk satu model yang menggambarkan prinsip-prinsip pembelajaran dan ini mempengaruhi penguasaan pengetahuan, perkembangan kemahiran dan kompetensi apabila diaplikasikan di dalam bilik darjah.
1. Penglibatan Aktif
Mengikut Ewell (1997) ’’the learner is not 'receptable’ of knowledge, but rather creates his or her learning actively and uniquely’’
Dalam hal ini pelajar perlu membina pengetahuan dengan melibatkan diri secara aktif dalam pengajaran guru kerana pengetahuan tidak disampaikan secara langsung kepada mereka. Bruner (1961) telah mencadangkan pelajar melibatkan diri secara aktif dengan bahan pembelajaran supaya dapat kembali mengingat maklumat yang diperlukan.Mayer (2004) mencadangkan pelajar harus aktif secara kognitif. Pelajar yang terlibat dengan aktif dalam proses pembelajaran mampu menyelesaikan masalah, mengemukakan cadangan, memberikan pengertian baru kepada sesuatu topik,dan berkebolehan untuk menghubung kait apa yang telah dipelajari kepada konteks yang baru ( Ewell 1997)
2. Perkaitan dan Corak
Mengikut Ewell (1997) “involves actively creating linkages among concepts, skill elements,people and experiances” (p.7) Prinsip ini menerangkan bagaimana pelajar mempunyai peluang membina, menentu, menguji dan membina corak serta perkaitannya daripada situasi pembelajaran. Melalui pembelajaran ini, pelajar dapat mewujudkan suasana yang bermakna terhadap aktiviti pembelajaran yang mempunyai kaitan dan bentuk yang tertentu. Mengikut Woolfolk (2004), pelajar membuat perkaitan dengan pengetahuan sedia ada dan pelajar juga membuat perkaitan tentang bagaimana maklumat boleh digunakan pada masa hadapan.
3. Pembelajaran Informal
Pembelajaran tidak hanya berlaku di dalam bilik darjah sahaja ataupun pada waktu pengajaran tetapi boleh berlaku di mana–mana sahaja serta pada bila-bila masa. Pembelajaran informal membolehkan pelajar memperoleh pengetahuan di luar bilik darjah melalui interaksi dengan persekitaran. Sebagai contoh program lawatan sambil belajar dapat memberi peluang kepada pelajar belajar sesuatu yang baru. Pembelajaran informal merupakan pembelajaran implisit iaitu pengetahuan diperoleh akibat interaksi secara langsung atau melalui pelbagai cara daripada rakan sebaya, orang yang lebih dewasa atau persekitaran.
4. Pengalaman Langsung
Melalui pengalaman langsung, pelajar diberikan peluang untuk menguasai pengetahuan
dan kemahiran dengan memerhati secara lansung objek atau fenomena yang ingin dikaji. Aktiviti seperti ini membantu pelajar membentuk pemahaman terhadap apa-apa yang dipelajari. Pengalaman langsung dalam konteks yang sebenarnya amat diperlukan supaya dapat mengubah tanggapan atau andaian yang salah tentang sesuatu. Pelajar dapat menemukan dan meneroka serta mengalaminya sendiri dan bukannya melalui pembacaan, pendengaran atau maklumat dari orang lain.



5. Situasi Mendesak.
Prinsip pembelajaran jenis ini mengandaikan bahawa pembelajaran optimum berkemungkinan boleh berlaku sekiranya seseorang berhadapan dengan masalah yang memerlukan penyelesaian tertentu. Sekiranya pengajaran adalah dalam situasi yang mendesak dengan pengalaman secara langsung dengan sesuatu yang benar-benar berlaku, maka pembelajaran tersebut akan lebih mencabar dan menarik bagi pelajar tersebut. Hal ini berlaku disebabkan terdapat satu keseimbangan antara cabaran dengan peluang dalam mana-mana situasi pembelajaran. Jika pelajar menghadapi satu situasi yang kompleks, ini akan memotivasikannya untuk mencari jalan penyelesaian.
6. Maklum Balas Berterusan
Maklum balas merupakan maklumat yang diberikan kepada individu tentang kesesuaian tindakan serta respon mereka. Maklum balas yang berkesan harus bersandarkan kepada analisis yang tepat tentang prestasi pelajar dan perlu dilakukan serta merta supaya pelajar tidak melakukan kesilapan. Pelajar boleh mendapatkan maklum balas daripada guru dan rakan-rakannya tentang prestasinya dan dengan cara ini mereka dapat meningkatkan kemampuan prestasinya.
7. Sesuatu yang menyeronokkan.
Pembelajaran perlu merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Menurut Ewell (1997) maklum balas serta pembelajaran berkesan berlaku jika pelajar berada dalam persekitaran yang menyeronokkan, iaitu interaksi peribadi dan sokongan padu daripada guru secara peribadi. Persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan merangkumi konteks budaya dan interpersonal menyediakan banyak peluang interaksi sosial dan pembelajaran.
8. Refleksi
Refleksi ialah proses memikir atau merenung kembali pengalaman dan implikasinya terhadap diri kita. Ia merupakan satu usaha bermakna untuk menjiwai proses pengajaran dan pembelajaran,membantu mengimbangkan kepercayaan kita dengan keperluan pelajar (Noraiti, Boon & Sharifah, 2009) Pelajar dapat mengawal pembelajaran mereka serta dapat meningkatkan kemahiran penilaian kendiri dan untuk melihat semula apa yang telah dibuat dan yang perlu dibaiki.
konsep pengajaran dan pembelajaran
KONSEP PENGAJARAN


Pengajaran merupakan aktiviti yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan yang meliputi aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian. Secara ringkas, pengajaran merupakan proses untuk menyampai dan menyumbang idea-idea serta memudahcara pembinaan ilmu, menentukan standard dan menggalakkan kreativiti, membantu seseorang pelajar untuk belajar dan mencabar pelajar ke arah pencapaian potensi optimum.
Pengajaran boleh dihuraikan sebagai satu cara untuk menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk berfungsi dengan baik. Faktor terpenting dalam pengajaran ialah guru perlu menilai keperluan–keperluan pembelajaran yang spesifik dan mengaplikasi strategi-strategi serta aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk pelajar.
Pengajaran sebagai organisasi yang dirancang dan diolah oleh guru untuk meyampaikan pemahaman tentang maklumat atau pengetahuan tertentu kepada pelajarnya dalam suasana yang dipanggil bilik darjah (Arbak 1985).
Manakala bagi Ee Ah Meng (1989) menyatakan bahawa pengajaran sebagai satu sains iaitu sistem aktiviti-aktiviti yang ditujukan kepada murid-murid dengan bertujuan membawa perubahan tingkah laku dikalangan mereka.
Sharifah Alwiah (1983) menganggap pengajaran sebagai aktiviti atau proses kerana apabila mengajar, aktiviti seperti menyoal, menerangkan, mendengar, menggalakkan sesuatu, dan berbagai-bagai aktiviti lain akan berlaku. Sharifah Alwiah juga menganggap pengajaran sebagai suatu proses komunikasi walaupun tidak semua aktiviti pengajaran merupakan komunikasi antara guru dengan pelajar.

Yaxley (1991) berpendapat, pengajaran merupakan satu tindakan yang bertujuan untuk membawa perubahan dari segi kepercayaan, nilai dan makna. Yaxley juga melihat pengajaran sebagai aktiviti intelek yang melibatkan pemikiran, perasaan dan penilaian.


Secara ringkasnya pengajaran ialah
(a) menyatakan kesanggupan untuk mencari ilmu sepanjang hayat
(b) menghormati kanak-kanak dan remaja
(c) berkongsi pengetahuan
(d) membimbing, mengarah, membantu, menyubur dan merancang
(e) menetapkan matlamat untuk diri sendiri dan murid
(f) menghadapi cabaran diri dan profesional
(g) menyalurkan budaya dan nilai nasional
KONSEP PEMBELAJARAN
Apa pula yang dimaksudkan dengan konsep pembelajaran? Mari kita lihat definisi pembelajaran.
Slavin (2005) mendefinisikan pembelajaran sebagai perubahan dalam seseorang individu akibat daripada pengalaman. Manusia mula belajar sejak ia dilahirkan dan semua pembelajaran ini berkait rapat dengan pengalaman.
Mengikut Hill (2002) pembelajaran berlaku apabila pengalaman menyebabkan suatu perubahan yang agak kekal dalam pengetahuan atau tingkah laku seseorang. Perubahan ini mungkin secara sengaja atau tidak sengaja, untuk lebih baik atau lebih buruk, betul atau salah dan sedar atau tidak sedar.
Pembelajaran adalah proses atau kegiatan belajar (Teuku Iskandar, 1986) yang berlaku dalam pelbagai bentuk (Schunk, 1991). Menurut Schunk, pembelajaran melibatkan pemerolehan dan pengubahsuaian pengetahuan, kemahiran, strategi, kepercayaan dan tingkah laku.
Pembelajaran juga merupakan perubahan tingkah laku atau kebolehan untuk menunjukkan perlakuan yang dikehendaki hasil daripada latihan ataupun pelbagai bentuk pengalaman (Evans & Brueckner, 1990; Gagne, 1985).
Bagi Gagne, pembelajaran merupakan perubahan dari segi kecenderungan atau kemampuan seseorang yang diperoleh dalam masa yang panjang dan bukannya dikuasai secara mudah mengikut proses pertumbuhan seseorang.
Ahli psikologi mempunyai pandangan yang berbeza mengenai pembelajaran. Ahli teoris behaviorisme menegaskan bahawa pembelajaran merujuk perubahan tingkah laku yang dapat diperhatikan. Pendukung teori kognitif pula menekankan tentang proses mental yang terlibat semasa pembelajaran berlaku tetapi tidak dapat diperhatikan.
ciri-ciri main
CIRI-CIRI MAIN
1. Motivasi intrinsik (intrinsic motivation)
Keinginan untuk bermain berlaku secara semulajadi dan datang dari dalam diri individu itu sendiri. Seringkali kanak-kanak bermain untuk keseronokan dan kepuasan diri, bukannya disebabkan oleh ganjaran luar.
2. Bebas untuk memilih (freedom of choice)
Main tidak boleh dipaksa. Pemilihan jenis permainan harus datang dari keputusan kanak-kanak sendiri. Kanak-kanak sendiri pilih apa, cara dan bila hendak bermain. Dengan itu kanak-kanak dapat meneroka cara bermain serta menjelajah alam sekeliling serta menyesuaikan dirinya dengan persekitarannya. Peranan guru ialah untuk menyediakan persekitaran yang memberangsangkan dengan sekatan yang minima.
3. Proses penyesuaian yg menyeronokkan (pleasure adaptation)
Semasa bermain kanak-kanak melalui proses penyesuaian diri dengan persekitaran, peraturan, budaya, keperluan hidup dan lain-lain peranan yang dijangkakan. Main sosiodrama atau simbolik seperi main perang, doktor, kahwin dan lain-lain menyediakan peluang kepada kanak-kanak membuat penyesuaian yang menyeronokkan berdasarkan budaya hidup di dalam atau luar masyarakatnya.
4. Penglibatan Aktif (active involvement)
Apabila kanak-kanak bermain, pergerakan badan diperlukan. Mereka menggunakan motor kasar dan motor halus. Mereka juga membuat manipulasi terhadap bahan-bahan. Mereka melibatkan diri secara aktif berinteraksi dengan rakan dan persekitaran.

5. Penerokaan (exploration)
Kedua-kedua jenis main, sosial dan kognitif, terdapat ciri penerokaan seperti meneroka alat permainan, tempat permainan, cara berkomunikasi, dan persekitaran. Setiap peristiwa/ bahan/ rakan merupakan pengalaman baru dan mempunyai kelainan
Membuka dan memasang alat permainan merupakan penerokaan. Kanak-kanak meneroka cara menggunakan fungsi alat permainan dengan efisien. Aktiviti berlari, memanjat, melompat dan membuai di taman permainan merupakan penerokaan persekitaran fizikal dari segi ruang, jarak, kelajuan dan arah.
6. Simulasi (Simulation)
Main merupakan bentuk simulasi jika ia dilakukan menyerupai situasi sebenar. Lakonan dan main peranan yang disediakan dengan kostum dan props yang mirip kepada senario sebenar dapat memberi kefahaman dan penghayatan pelakon (kanak-kanak) merasakan watak yang dimainkan.
Bermain Dalam Persekitaran Sekolah Rendah (Brewer, 2001)
Konsep main dalam persekitaran sekolah rendah adalah berbeza dengan persekitaran prasekolah. Kadang-kadang guru berpendapat peluang pembelajaran akademik mungkin terjejas jika kanak-kanak sekolah rendah menghabiskan masa untuk bermain. Sebenarnya main membantu dalam perkembangan kebolehan akademik mereka. Apa yang penting ialah kebijaksanaan guru untuk mengenal pasti pengalaman main yang bersesuaian dengan peringkat umur kumpulan kanak-kanak tertentu.
Kanak-kanak sekolah rendah belajar daripada aktiviti main seperti membuat binaan daripada pelbagai bahan, mencipta alat/mainan daripada bahagian-bahagian terbuang, mereka robot dan model, yang lebih berbentuk penerokaan, pengujian hipotesis secara saintifik. Semasa bermain, kanak-kanak berpeluang untuk berbual, memberi pendapat, mempertahankan idea, memujuk dan memberi penerangan. Pengalaman mainan pupet atau lakonan muzikal menyediakan kanak-kanak untuk memperkembangkan bahasa lisan serta menyalurkan idea secara simbolik – yang merupakan asas kepada kemahiran membaca. Guru perlu memastikan terdapatnya peluang, masa, bahan-bahan dan juga peraturan yang bersesuaian untuk mengendalikan aktiviti main sambil belajar.
Aktiviti bermain dalam persekitaran sekolah rendah boleh dilihat sebagai satu kontinum yang bermula daripada main bebas kepada main terancang kepada main terkawal.
1. Main Bebas (Free Play)
Main bebas merupakan tingkah laku yang dimotivasikan secara intrinsik, aktif dan menyeronokkan, tanpa matlamat nyata. Kanak-kanak memilih daripada kepelbagaian bahan yang ada untuk main bebas. Peranan guru ialah untuk menyediakan persekitaran yang memberangsangkan dengan sekatan yang minima.

2. Main Terancang (Guided Play)
Main terancang mempunyai unsur-unsur main bebas tetapi unsur-unsur berkenaan telah dirancang oleh guru dengan rapi untuk mencapai matlamat tertentu. Guru mengenal pasti bahan tertentu dan kanak-kanak membuat pilihan. Aktiviti ini dijalankan bawah bimbingan guru. Contohnya, dalam subjek matematik, guru menggunakan permainan Monopoli untuk memperkukuhkan pembelajaran konsep nombor, tambah, tolak dan kemahiran membuat keputusan.
3. Main Terarah (Directed Play)
Permainan ini ditetapkan oleh guru seperti yang diarah atau ditetapkan mengikut peraturan atau undang-undang. Guru memberi arahan dan kanak-kanak menyempurnakan tugasan tersebut, contohnya, nyanyian sambil melakukan aksi seperti “Kalau rasa gembira tepuk tangan,” mainan dalam bulatan seperti “Follow the leader” dan sebagainya.
Peranan Guru Dalam Proses Main
Guru memilih pengalaman main untuk disepadankan dengan matlamat program
• Jika matlamat menekankan penemuan – mainan bebas
• Jika ia memerlukan kanak-kanak untuk meneroka konsep – mainan terbimbing
• Jika guru ingin pelajar mempamerkan kemahiran khusus – mainan terarah
Guru perlu
· membuat pemerhatian tentang kelakuan kanak-kanak, memberi bantuan di mana dan jika perlu.
· menyediakan persekitaran yang kaya dan aktiviti perlu ditukar dan diubah susunannya dari semasa ke semasa
· merangsang main dengan menunjukkan minat dan sokongan terhadap tindakan kanak-kanak
· bertindak balas terhadap minat kanak-kanak atau berkongsi pengalaman. Hormati pemikiran kanak-kanak dan sistem peraturannya.
· kemukakan soalan-soalan fokus, berikan maklumat bila dikehendaki oleh kanak-kanak.
· mencelah pada masa yang sesuai. Pencelahan tidak berbentuk halangan untuk mematikan semangat dan minat kanak-kanak
· menilai untuk mengesan perkembangan dan keperluan kanak-kanak, merekodkan tingkahlaku, pencapaian dan perkembangan kanak-kanak dari aspek fizikal, emosi, intelek, sosial dan bahasa. Data-data yang diperolehi dijadikan asas perancangan bagi setiap individu
Jenis-jenis main
JENIS-JENIS MAIN
Modul ini akan membincangkan dua jenis main iaitu pertamanya, main sosial yang diutarakan oleh Parten (1932) dan jenis kedua ialah main dengan objek atau main kognitif yang dipelopori oleh Piaget (1962) kemudiannya dikembangkan oleh Piaget dan Inhelder (1969).
Main Sosial
Parten (1932) membahagikan mainan sosial kepada enam peringkat iaitu perlakuan tak menentu, main sendirian, main pemerhatian, main selari, main assosiatif dan main koperatif.
- Perlakuan Tak Menentu (Unoccupied Play )
Kanak-kanak berada dalam kawasan permainan tetapi belum terlibat dalam aktiviti bermain
- Main Sendirian (Solitary Play )
Kanak-kanak bermain secara berasingan dalam kawasan yang sama tanpa menghiraukan kanak-kanak lain di keliling mereka.
- Main Pemerhatian (Onlooker Play)
Kanak-kanak berada dalam kawasan bersama kanak- kanak lain yang sedang bermain sambil memerhati aktiviti mereka. Pemerhati ini seringkali duduk secara pasif sambil membuat pemerhatian. Selepas itu, ia mungkin meniru corak permainan mengikut apa yang diperhatikan atau mungkin berbual dengan sebayanya.
- Main Selari (Parallel Play )
Terdapat beberapa kanak-kanak menggunakan cara atau alat permainan yang sama tetapi mereka tidak berkongsi alat. Kanak-kanak berbual tetapi tindakan seorang individu tidak bergantung kepada tingkah laku individu yang lain.
- Main Asosiatif (Associative Play )
Beberapa kanak-kanak bermain dalam kalangan mereka tetapi bukan dengan cara yang teratur. Mereka mungkin main kejar-kejar tanpa peraturan atau peranan yang dikenalpasti.
- Main Koperatif (Cooperative Play)
Setiap kanak-kanak dalam kumpulan mempunyai peranan dan perlu saling bergantungan untuk mencapai matlamat permainan. Main koperatif merupakan satu bentuk kerja berpasukan.
Main dengan Objek/ Main Kognitif
Piaget (1962) membahagikan main kognitif kepada empat peringkat iaitu main latihan atau main fungsional, main simbolik, main konstruktif dan main dengan peraturan.
1. Main Latihan/ Main Fungsional
Main latihan atau main fungsional merupakan aktiviti di mana kanak-kanak meneroka kepelbagaian bahan-bahan mainan. Orang dewasa juga mungkin terlibat dengan mainan latihan apabila berdepan dengan bahan baru, contohnya melatih untuk membiasakan diri dengan fungsi telefon bimbit barunya.
Main fungsional ini mempunyai ciri pengulangan, manipulasi dan peniruan. Sebagai contoh, kanak-kanak bermain memancing ikan olok-olok, dia akan melakukan aktiviti mencangkuk berulang kali, meneroka teknik yang terbaik sehingga ia memperolehi cara terbaik untuk menguasai kemahiran tersebut.
2. Main Simbolik
Main simbolik melibatkan imaginasi dan kreativiti yang melibatkan perkaitan fungsi mental yang kompleks. Dalam contoh aktiviti bermain memancing, kanak-kanak menggunakan joran sebagai senapang atau penunjuk konduktor okestra atau penunjuk papan tulis guru. Main simbolik memberikan peluang kepada kanak-kanak mempamerkan kreativiti, kebolehan fizikal dan kesedaran sosial.
Main simbolik termasuk sosiodrama di mana dalam permainan ini kanak-kanak memegang sesauatu peranan kemudian melakonkannya. Sosiodrama boleh melibatkan pengalaman sebenar kanak-kanak atau berimaginasi,contohnya menidurkan adik atau menaiki roket. Mainan simbolik menyediakan peluang untuk kanak-kanak memikirkan peranan masa depan, menggunakan bahan untuk menyelesaikan masalah, meningkatkan penggunaan bahasa, menghayati nilai moral dan budaya yang terkandung dalam mainan tersebut.



3. Main Konstruktif
Piaget dan Inhelder (1969) menjelaskan mainan konstruktif sebagai peningkatan daripada mainan simbolik di mana kanak-kanak perlu membuat penyesuaian atau ciptaan untuk menyelesaikan masalah/menghasilkan sesuatu. Sebagai contoh, kanak-kanak menggunakan kotak, bongkah, kertas, pasir, doh dan sebagainya secara bergabung atau berasingan untuk membina menara, kereta kotak, istana pasir, ‘figurine’ dan hasilan kreatif yang lain.
Main konstruktif melibatkan bermain untuk membina pengetahuan dan mengenali dunia. Bahan-bahan di persekitaran diguna pakai secara kreatif dan fungsional untuk menghasilkan ciptaan mengikut daya kreativiti.
Main konstruktif memberi kepuasan dan kebanggaan kepada kanak-kanak terhadap hasilan mereka. Kanak-kanak mempunyai kebebasan untuk memilih dan membuat keputusan serta bertanggunjawab terhadap benda yang ingin dihasilkan.
Guru perlu mengaturkan peluang untuk main konstruktif di kalangan pelajar kerana ia merupakan aktiviti yang melibatkan aras pemikiran tinggi, mencerakin persekitaran untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna.
4. Main Berperaturan
Dalam main berperaturan, kanak-kanak bermain mengikut peraturan yang dipersetujui bersama ataupun mengikut batasan dan peraturan permainan tersebut. Namun, peraturan mungkin berbeza mengikut daerah atau lokasi yang berbeza. Sebagai contoh, permainan ketingting mempunyai cara dan peraturan yang berbeza mengikut lokasi kawasan. Kanak-kanak juga mungkin mereka cipta permainan berperaturan sendiri.
Permainan berperaturan ini dapat membantu perkembangan kanak-kanak dari segi kognitif seperti kemahiran berfikir, menyelesaikan masalah, mencari alternatif, membuat andaian dan merancang strategi. Perkembangan sosial dan emosi pula diperhatikan apabila kanak-kanak belajar mematuhi peraturan, mengambil giliran, saling menghormati termasuk pasukan lawan, berkomunikasi secara bersopan, berkompromi dalam rundingan serta menghormati kemenangan dan menerima kekalahan dengan semangat setiakawan.
KEPENTINGAN MAIN DALAM PROSES PEMBELAJARAN KANAK- KANAK
Mengapa Bermain?
Mengikut Piaget (1962), kanak-kanak memerlukan aktiviti bermain kerana:
- Main memberikan peluang kepada kanak-kanak meluahkan idea, perasaan dan emosi
- Main dapat mewujudkan perasaan tenang dan menghiburkan hati
- Main menyediakan saluran untuk kanak-kanak menggunakan tenaga yang berlebihan
- Main membolehkan kanak-kanak menyediakan diri ke arah kedewasaan atau kematangan
- Main memberikan peluang kepada kanak-kanak belajar menyelesaikan pelbagai bentuk masalah (kognitif, motor, sosial) yang menyumbang kepada perkembangan intelek
- Main membudayakan proses pembelajaran termasuk mengulang, latihan, latih tubi, peniruan, penerokaan, penemuan, perkaitan, membuat huraian, rumusan, mensintesis dan menguji
- Main membantu dalam pembentukan jati diri, ketrampilan diri, pemupukan nilai murni seperti motivasi intrinsik, penglibatan, ketahanan, kemahiran interpersonal, keyakinan diri dan berani bertindak.
Kepentingan dan Faedah Bermain
Secara umum, bermain boleh membantu kanak-kanak dalam perkembangan fizikal, perkembangan sosioemosi, perkembangan kognitif dan perkembangan bahasa.
1. Perkembangan Fizikal
Kanak-kanak menguasai kawalan motor halus dan motor kasar melalui bermain. Kemahiran motor kasar yang dapat dikembangkan melalui aktiviti seperti berlari bebas, melompat, memanjat, menendang, mengangkat, membaling dan menyambut (bola). Ini memberi kesedaran kepada kanak-kanak tentang fungsi badan sendiri, kegunaan ruang dan arah tujuan.

Aktiviti membutang, mewarna, melukis, menampal dan mencantum dapat mengembangkan kemahiran motor halus dan koordinasi mata-tangan. Kemahiran manipulatif dapat dibina melalui aktiviti seperti mencucuk benang ke dalam manik, jigsaw puzzles, mengikat reben, kraft tangan dan membentuk menggunakan doh.
2. Perkembangan Sosioemosi
Semasa bermain, kanak-kanak berpeluang belajar berinteraksi dengan orang lain secara positif, mengajak kanak-kanak keluar daripada pola egosentrik, mengambil kira pandangan rakan, menghormati hak orang lain, bersabar dan bertolak ansur. Mereka dapat belajar untuk menangguh kehendak semerta diri (delayed gratification) untuk mencapai matlamat jangka panjang. Dengan itu main memberi peluang kepada kanak-kanak membina konsep kendiri yang positif, keyakinan diri serta melahirkan sentimen dan menstabilkan emosi.
Aktiviti main peranan seperti berpura-pura menjadi doktor dan pesakit atau menaiki bas olok-olok memberi latihan kepada kanak-kanak untuk menguasai pengetahuan dari persekitaran serta membantu perkembangan kemahiran bersosialisasi. Permainan imaginatif seperti ini memberi latihan kepada kanak-kanak mengenali alam dewasa. Mereka belajar bekerjasama untuk mencapai matlamat kumpulan.
3. Perkembangan Kognitif dan Bahasa
Bermain juga dapat membantu memperkembangkan kebolehan kognitif seperti mengenal pasti, mengkategori, membuat urutan, memerhati, membezakan, meramal, membuat rumusan, dan membuat perbandingan.
Akiviti seperti membina blok, permainan bahasa, permainan dam, puzzle, teka-teki, nyanyian dan congkak membantu mengembangkan kemahiran bahasa, matematik dan sains serta berfikir secara logik dan kreatif. Kanak-kanak juga dapat meningkatkan kemahiran penggunaan bahasa dalam persekitaran yang relaks, semulajadi dan seronok.
Peranan main dalam proses pembelajaran kanak-kanak
Konsep dan Peranan Main
Konsep main boleh dijelaskan sebagai “… tingkah laku dinamik, aktif dan konstruktif yang telah disebatikan dalam diri kanak-kanak. Ia merupakan satu keperluan dalam alam kanak-kanak, dari peringkat bayi sehingga peringkat remaja” (Brewer, 2001, m.s.144).
Sudah tentu anda masih ingat pengalaman bermain semasa anda di bangku sekolah. Pengalaman tersebut masih meninggalkan perasaan kegembiraan, kebebasan dan emosi yang menenangkan jiwa. Sebenarnya dari perspektif psikologi, kesemua perasaan ini memberi kesediaan kognitif kepada individu tersebut untuk belajar pada tahap optimum. Maka sebagai pendidik, kita harus bawa unsur keseronokan ini ke dalam bilik darjah.
Bermain merupakan aktiviti di dalam kehidupan seharian kanak-kanak. Melalui aktiviti bermain, kanak-kanak belajar berkenaan diri sendiri dan hubungan dengan alam persekitarannya. Main adalah proses di mana pembelajaran berlaku, main ialah tugas belajar kanak-kanak. Oleh yang demikian, ibu-bapa, orang dewasa dan guru perlu memahami peranan dan kepentingan main dalam proses pembelajaran kanak-kanak di sekolah rendah. Tanpa pengetahuan dan kefahaman tentang konsep ini, main dianggap tidak mendatangkan faedah dan hanya membuang masa dan tenaga sahaja.


Pengalaman Langsung Melalui Bermain
Cara pembelajaran terbaik untuk kanak-kanak belajar tentang dunia mereka adalah melalui pengalaman langsung. Ibu bapa tidak akan berkata, “Jangan tengok labah-labah ini, baca buku tentang labah-labah.”
Seseorang akan memahami apa yang diperkatakan oleh orang lain berdasarkan pengalaman mereka. Kanak-kanak mungkin mempunyai pengalaman langsung yang terhad, guru dan ibubapa harus mengaturkan peluang untuk kanak-kanak mengalaminya. Oleh itu proses pembelajaran adalah lebih berkesan bagi kanak-kanak yang masih dalam peringkat perkembangan Operasi Konkrit (7-12 tahun) untuk mengalami persekitaran pembelajaran yang berunsurkan hands-on, penglibatan dan eksperiential. Pengalaman langsung yang paling asas dan semula jadi ialah bermain.
Subscribe to:
Posts (Atom)