Friday, July 25, 2014

Peringkat-peringkat Mengajar Bacaan


Pengajaran bacaan yang dijalankan boleh guru bahasa tertumpu kepada dua kemahiran iaitu bacaan secara kuat (bacaan mekanis) dan bacaan secara senyap (bacaan mentalis/akaliah). Kemahiran membaca kuat lebih menumpukan kepada kemahiran sebutan, intonasi, dan gaya membaca (membaca berita). Manakala bacaan senyap merupakan kemahiran membaca untuk memaham dan juga kepantasan membaca petikan sesuatu bahan.

Mengajar kemahiran membaca kepada kanak-kanak hendaklah dibuat secara berperingkat-peringkat supaya mereka dapat menguasai kemahiran membaca dengan baik. Kamarudin Hj. Husin (1988) membahagikan pengajaran bacaan kepada lima peringkat:

i. peringkat menyediakan murid

ii. peringkat mendirikan asas

iii. peringkat melatih membaca dan memaham

iv. peringkat melatih membaca untuk hiburan atau mencari maklumat

v. peringkat membina dan mengukuhkan sikap gemar membaca.


Apabila kanak-kanak memasuki tahun satu persekolahan, guru perlu menyiasat terlebih dahulu tahap kesediaan murid terutamanya penguasaan bahasa dan juga emosi murid. Pengetahuan guru tentang tahap kesediaan membaca murid dan juga kemahiran sedia ada murid akan dapat membantu guru untuk menyediakan murid bagi pelajaran membaca.

Peringkat mendirikan asas bacaan sangat penting dalam pengajaran kemahiran membaca kepada murid-murid. Pada peringkat ini guru perlu menggunakan pelbagai alat bantu mengajar dan juga bahan bacaan yang sesuai. Bahan bacaan yang digunakan hendaklah ringkas, menarik, dan bermakna. Kemahiran asas bacaan bermula dengan mengenal abjad, suku kata, perkataan, frasa, dan seterusnya ayat. Pada peringkat ini juga galakan dan dorongan perlu diberikan kepada murid secara berterusan.

Peringkat seterusnya adalah melatih membaca dan memaham. Pada peringkat ini bahan bacaan yang digunakan hendaklah dipilih dengan baik. Selain menekankan aspek sebutan dan kelancaran, guru juga mula menekankan aspek pemahaman. Kebiasaan murid membaca nyaring boleh dikurangkan kepada bacaan senyap secara beransur-ansur. Soalan-soalan guru berkaitan bahan yang dibaca akan membantu murid membina kemahiran memaham.

Setelah kanak-kanak sudah boleh membaca dengan lancar dan seterusnya memahami isi bahan yang dibaca, mereka akan menggunakan kemahiran ini untuk memilih bahan bacaan lain untuk mencari maklumat dan juga untuk mengisi masa lapang. Guru boleh membantu kanak-kanak dengan mengajar mereka kemahiran mencari maklumat di pusat sumber dan juga internet.

Akhir sekali adalah peringkat membina sikap suka membaca. Sikap suka membaca hendaklah dipupuk di peringkat sekolah lagi supaya sebati dengan jiwa kanak-kanak. Kebiasaannya sekolah kerap mengadakan pertandingan membaca, pameran buku, peraduan mengarang, dan sebagainya.



No comments:

Post a Comment