Friday, July 25, 2014

Bacaan mentalis, mekanis, intensif dan ekstensif.



Bacaan Mentalis
Bacaan mentalis ialah bacaan yang disuarakan dalam hati atau menukarkan isi bacaan kepada maknanya tanpa mengeluarkan suara. Kelajuan bacaan mentalis lebih pantas daripada bacaan mekanis kerana beberapa perkara yang dilakukan dalam bacaan mekanis seperti nada suara, sebutan yang jelas dan sebagainya tidak diperlukan dalam bacaan mentalis. Bacaan mentalis ini dijalankan sesudah murid-murid mencapai kemahiran dan kecekapan bacaan mekanis.

Tujuan

(a) Untuk melatih murid-murid supaya boleh membaca dengan sendiri.

(b) Untuk melatih murid-murid supaya boleh membaca dan memahami apa yang dibacanya,

(c) Untuk melatih murid-murid membaca senyap dengan pantas.

(d) Dapat menggunakan kemahiran membaca senyap untuk mendapatkan pengetahuan.

(e) Dapat menggunakan kemahiran membaca mentalis untuk hiburan.



Aktiviti bacaan mentalis
(a) Bacaan ini adalah bacaan untuk kefahaman.

(b) Bahan-bahan yang diajar mestilah berperingkat-peringkat daripada bahan-bahan yang sedikit dan senang kepada bahan-bahan yang banyak dan susah.

(c) Guru memberi dan menentukan bahan bacaan. Semasa pelajaran dijalankan guru membantu dan memandu murid-murid yang lemah.

(d) Guru bersoal jawab dan membincangkan perkataan dan rangkai kata yang susah.






Bacaan Mekanis
mekanis ialah bacaan bersuara yang menyuarakan tulisan dengan sebutan yang jelas dan terang, dengan intonasi dan irama mengikut gaya membaca yang betul dengan menggerakkan alat-alat pertuturan. Bacaan bersuara biasanya dilaksanakan di kelas-kelas rendah atau pada peringkat kelas permulaan. Gunanya adalah untuk latihan teknik supaya kanak-kanak dapat menyembunyikan bunyi-bunyi sebutan dengan sebutan, gaya, dan rentak irama yang sempurna.


Tujuan

Bacaan mekanis mempunyai beberapa tujuan:

(a) Membolehkan murid-murid membaca dengan cekap dan pantas dengan sebutan dan intonasi yang betul dan jelas.

(b) Membolehkan murid-murid membaca dengan irama membaca yang betul.

(c) Mengembangkan atau mempelajari unsur bahasa seperti tatabahasa, kosa kata dan juga apabila menggunakan kamus.

(d) Membolehkan murid-murid tahu menggunakan tanda-tanda baca serta tahu pula berhenti pada tempat-tempat berhenti yang betul.

(e) Dapat menggunakan kemahiran bahasa dalam mata-mata pelajaran yang lain.

(f) Untuk membolehkan murid-murid mencapai kemahiran dan kecekapan membaca bersuara.

(g) Dapat mengenal pasti laras bahasa yang pelbagai.

(h) Menikmati unsur estetik dalam bahan bacaan.

(i) Dapat mengulas isi yang terdapat dalam bahan bacaan.



Aktiviti bacaan mekanis

Antara cadangan aktiviti bacaan mekanis;

(a) Guru memberikan satu petikan dalam satu masa khas untuk bacaan, sesuai dengan kebolehan dan umur murid-murid.

(b) Bersoal jawab dan membantu murid-murid dengan perkataan-perkataan dan rangkai kata yang susah sama ada dari segi sebutan atau makna perkataan-perkataan itu.

(c) Guru membaca sebagai contoh dan murid-murid menyemak bacaan guru.

(d) Guru membaca dan murid-murid mengikut. Boleh dilakukan secara kelas atau kumpulan.

(e) Guru memandu murid-murid membaca secara individu bergilir-gilir.

(f) Guru berbincang dan bersoal jawab dengan murid-murid mengenai isu bacaan untuk menguji kefahaman mereka. Ini boleh dilakukan secara lisan dan bertulis.






Bacaan intensif
Bacaan intensif adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangkan kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Di samping itu, ia memberi tekanan kepada kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan. Latihan-latihan bacaan intensif biasanya memerlukan bimbingan dan bantuan penuh daripada guru-guru terutama dalam menghadapi dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh murid-murid.



Konsep

(a) Ia merupakan satu kegiatan membaca yang dikaitkan dengan usaha melanjutkan lagi perkembangan pembelajaran bahasa pelajar di bawah pimpinan guru.

(b) Ia memberi asas untuk pengajar memberi penjelasan atau keterangan mengenai struktur yang sukar dan juga memberi asas untuk memperkembangkan perbendaharaan kata.

(c) Ia dikaitkan dengan aktiviti mengkaji ciri-ciri tatabahasa iaitu susunan kata dalam ayat dan pengertian menurut kamus yang ditemui oleh pelajar dalam bacaannya.

(d) Ia mengembangkan lagi usaha mengawal penggunaan bahasa dalam pertuturan dan tulisan.

(e) Gerak laju dan kelainan latihan adalah dianggap amat penting.



Tujuan

(a) Untuk membolehkan kanak-kanak membaca dengan baik. Betul dari segi sebutan, intonasi, lancar dan tahu menggunakan tanda-tanda bacaan dengan baik.

(b) Untuk mengembangkan kebolehan mentafsir apa yang tertulis dalam bacaan itu dengan mengkaji susunan kata dalam ayat dan pengertian dalam kamus.

(c) Membaca secara senyap dengan kepantasan yang sewajarnya.

(d) Menilai atau mengulas isi-isi yang diperolehi daripada bahan-bahan yang dibaca.

(e) Mengesan, memaham dan menikmati unsure-unsur estetik dalam bahasa.

(f) Mengenalpasti laras bahasa yang berbagai-bagai.

(g) Membuat rumusan atau kesimpulan daripada apa yang dibaca dan sebagainya.




Aktiviti bacaan intensif

(a) Bahan-bahan bacaan intensif ini bolehlah dibincangkan bersama oleh pelajar-pelajar dalam kelas, kadang-kadang dianalisa dan seterusnya dijadikan asas untuk latihan-latihan menulis.

(b) Pelajar-pelajar patut dibenarkan menggunakan kamus atau sebuah buku teks rujukan tatabahasa.

(c) Aktiviti dalam kelas hendaklah ditukar setiap hari. Hari pertama misalnya, mengkaji perkataan dengan menggunakan imbuhan, hari kedua ‘latihan perkamusan’, hari ketiga ‘latihan meneka maksud mengikut konteks’, hari keempat ‘membaca dengan laju’ dan sebagainya.

(d) Soalan-soalan untuk bahan Bacaan Intensif boleh dipelbagaikan iaitu bentuk objektif, bentuk salah betul, bentuk lisan ataupun bentuk jawapan bertulis.

(e) Segala kajian harus dibuat secara mendalam.







Bacaan Ekstensif
Bacaan ekstensif ialah bacaan meluas yang menekankan aktiviti-aktiviti membaca yang dilakukan di luar kelas. Bacaan ekstensif biasanya memberi tumpuan kepada beberapa aspek terutamanya menitikbemtkan aspek pengukuhan asas bacaan, menambah kemahiran memaham dan menaakul isi bacaan, meningkatkan kepantasan membaca, membina dan mengukuh minat membaca dan kebolehan memetik isi-isi penting. Mengikut kebiasaannya, melalui bacaan ekstensif ini murid akan dapat kepuasan dan keseronokan di samping berpeluang menimba ilmu pengetahuan.



1 comment: