Monday, March 18, 2013

kemahiran asas kaunseling-kemahiran penstrukturan



Penstrukturan merupakan satu kemahiran yang sangat penting di dalam sesuatu sesi kaunseling. Ini adalah kerana sekiranya penstrukturan dilakukan dengan baik dalam sesuatu sesi kaunseling itu, ia akan dapat membina hubungan yang mesra dengan klien. Proses penstrukturan boleh dilakukan sama ada dalam bentuk formal atau tidak formal.

Terdapat dua persoalan yang penting dalam penstrukturan, iaitu perlukah penstrukturan itu dilakukan secara formal dan bilakah masa yang sesuai untuk melakukannya. Oleh yang demikian, kaunselor perlu pandai dalam melakukan penstrukturan.

Penstrukturan formal adalah perlu sekiranya klien merupakan klien rujukan atau klien itu baru datang untuk sesi kaunseling buat pertama kali. Penstrukturan formal tidak perlu sekiranya klien itu pernah berjumpa dengan kaunselor sebelum ini ataupun sekiranya klien itu ingin terus menceritakan masalahnya.

Dalam penstrukturan, kaunselor harus menerangkan peranan/tanggungjawab kaunselor dan klien sebelum memulakan sesi kaunseling. Biasanya, sesi kaunseling akan mengambil jangka masa selama 30 minit hingga 45 minit. Segala perbincangan antara kaunselor dengan klien adalah dirahsiakan.

Penstrukturan yang mudah dan ringkas ini dapat membantu klien memahami apa yang akan dilaksanakan dan apa yang diharapkan daripadanya. Segala perkara yang dibincangkan nanti akan dirahsiakan oleh kaunselor. Ini akan menimbulkan rasa selamat dan percaya kepada kaunselor dan klien akan menceritakan apa sahaja yang mengganggu atau timbul dalam fikirannya.

Contoh penstrukturan 1

“…Dalam sesi ini, saya sebagai seorang kaunselor dan anda pula sebagai klien. Sesi ini akan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Peranan saya secara ringkasnya untuk mendengar, memahami dan cuba untuk membantu anda. Peranan anda adalah untuk menceritakan apa yang mengganggu hidup anda. Sesi ini akan dirahsiakan dan kerahsiaan ini terbatas sekiranya isu yang dibincangkan melibatkan keselamatan nyawa anda.”

Contoh penstrukturan 2

Ks : “Mungkin ia akan membantu jika saya memberitahu tentang perkara asas dalam kaunseling”

Kl : “Baiklah”

Ks : “Tujuan kaunseling adalah untuk membantu dan membimbing anda dalam membincangkan bersama persoalan anda. Tugas saya sebagai seorang kaunselor adalah untuk mendengar dan memahami apa yang anda rasa dan fikirkan. Kemudian kita akan bersama-sama mencari langkah-langkah bagi persoalan anda”.

Kl : “Baiklah. Tapi apa pula yang perlu saya lakukan, Encik”

Ks : “Tugas anda adalah membantu saya untuk memahami apa yang anda rasa dan fikirkan. Anda perlu memberi maklumat, membuat keputusan yang sesuai dan memberitahu saya perkara-perkara yang perlu untuk mencapai objektif anda”.

Kl : “Susah untuk menangani masalah saya ni Encik”

Ks : “Itulah menjadi pokok utama di sini. Kita akan cuba bersamasama memfokuskan pada sasaran atau objektif kaunseling ini. Pada waktu ini kita hanya sebahagian kecil daripada permasalahan anda, dan kita akan bersama-sama menanganinya dari yang ringan kepada yang lebih berat”.

Kl : “Oh begitu..Jadi, maksud encik kita cuma bincangkan satu persoalan sahaja dalam satu masa ?”

Ks : “Tepat sekali. Satu lagi, saya mahu anda tahu bahawa kaunseling adalah secara sukarela. Anda boleh menamatkan sesi pada bila-bila masa. Sesi ini adalah peribadi dan sulit. Saya tidak akan memberitahu kepada sesiapa masalah anda kecuali dengan izin anda. Sesi kita akan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Selalunya, ia akan memerlukan beberapa sesi, bergantung kepada keperluan anda. Sekarang, anda ada apa-apa soalan?”

Ks : “Tidak ada. Saya jelas dengan penjelasan yang telah encik berikan”.

-Contoh Penstrukturan 3

Ks : “Aqel, jika tak keberatan, boleh tak saya rekodkan sesi ini? Ini untuk tugasan saya. Saya akan buat transkrip, dan pensyarah saya akan baca. Okey, kalau Aqel tidak selesa, saya akan berhentikan rekod ini bila-bila masa. Saya akan tunjukkan apa yang telah saya tulis jika Aqel mahu. Jika, selepas ni, Aqel tak benarkan saya gunakan rekod ini, saya tidak akan gunakan, dan kita akan mulakan sesi ini sekali lagi”.

Kl : “Baiklah, saya ada sesuatu nak bincangkan dengan encik”.

Ks : “Apa yang Aqel nak bincangkan hari ini ?”

Kl : “Kawan saya. Dia sangat teruk”.



1 comment: