Monday, March 18, 2013

Kemahiran asas kaunseling-kemahiran membina perhubungan


Kemahiran membina perhubungan merupakan langkah yang paling awal dalam sesi kaunseling. Tujuannya adalah untuk membina perhubungan yang mesra, saling mempercayai dan rasa selamat antara kaunselor dan klien supaya klien sedia berbincang. Tahap ini termasuklah memberi perangsang kepada klien agar sentiasa tenang dengan memberikan tanggapan pertama yang positif.

Kaunselor mesti membina suasana sekeliling dan tingkah laku yang meyakinkan dan menunjukkan kemesraan. Dalam kemahiran ini terdapat beberapa sub kemahiran asas seperti membina suasana alam
sekeliling, suasana terapeutik, ruang untuk berkomunikasi, penampilan diri, ekspresi muka, kontak mata, pergerakan tangan dan kaki, nada suara, senyuman dan akhir sekali cara cara duduk dalam kaunseling.

Kemahiran ini digunakan oleh kaunselor untuk membawa klien menghadapi realiti dengan cara menyelaraskan mental, emosi, tingkah laku, komunikasi lisan dan bukan lisannya. Dalam erti kata lain,  bertujuan untuk memperbetulkan dalih ataupun ketidakseimbangan kenyataan yang diberikan oleh klien.

Namun, kaunselor perlu berhati-hati semasa menggunakan kemahiran ini kerana sekiranya klien tersebut belum lagi bersedia menghadapi konfrontasi, klien itu akan merasakan bahawa dirinya terancam. Ini adalah kerana klien itu tidak faham bahawa konfrontasi yang dibuat sebenarnya bukan bersifat agresif dan menentang, tetapi bertujuan untuk menyedarkan klien tentang ketidakseimbangan kenyataan yang diberikannya.

Dalam membina kemahiran perhubungan, beberapa perkara perlu diambilkira iaitu;

 membina suasana alam sekeliling

 suasana terapeutik

 ruang untuk berkomunikasi

 penampilan diri

 ekspresi muka

 kontak mata

 cara duduk dalam sesi kaunseling

 pergerakan tangan dan kaki

 senyuman

 nada suara

 menggalakkan klien bercakap


Membina suasana alam sekeliling

Oleh sebab sesi perbincangan kaunseling selalunya mengambil masa kira-kira 30 minit atau lebih sedikit serta tajuk perbincangan adalah serius, maka tempat yang sesuai amat diperlukan. Kerusi meja yang sesuai perlu digunakan seperti kerusi yang tidak menyakitkan pinggang atau bergoyang-goyang sehingga mengganggu tumpuan atau pemikiran. Keadaan bilik haruslah tidak terlalu panas, tidak terlalu sempit dan tidak terlalu bising. Tidak ada bau yang tidak menyenangkan seperti bau tandas yang berdekatan dengan seting sesi kaunseling. Selain itu, tempat menjalankan sesi kaunseling mestilah kemas supaya tidak menyakitkan penglihatan klien dan kaunselor.

Suasana terapeutik

Suasana yang aman dan tenang tanpa gangguan seperti yang dinyatakan tadi membolehkan serta memudahkan perbincangan, penghayatan perasaan dan penglahiran idea-idea tanpa rasa terancam. Oleh itu suasana terapeutik yang menyenangkan membolehkan sesi kaunseling berjalan dengan lebih lancar lagi.

Ruang untuk berkomunikasi

Setiap individu mempunyai ruang di sekeliling tubuh badannya. Ruang itu membesar atau mengecil bergantung kepada keadaan. Dalam kaunseling, kemahiran mengurus ruang ini penting bagi menentukan proses kaunseling dapat berjalan dengan baik dan berkesan tanpa gangguan fizikal dan psikologikal. Kaunselor haruslah sensitif akan perkara-perkara yang dapat menjadi petunjuk dalam menentukan ruang antara kaunselor dengan klien. Antara perkara yang perlu dibincangkan termasuklah agama, jantina, umur, budaya dan latar belakang etnik serta tajuk perbincangan. Dalam sesi kaunseling, jarak atau ruang antara klien dan kaunselor harus dianggarkan tidak terlalu dekat sehingga mengganggu perbincangan dan tidak perlu terlalu jauh sehingga menyukarkan kedua-dua pihak. Jarak antara 1-1.5 meter dapat menimbulkan rasa selesa dan klien berasa beliau diberikan perhatian yang baik. Dalam menentukan jarak yang sesuai, klien perlu mengambil tempat dahulu. Seterusnya, kaunselor membetulkan jarak yang dirasakan selesa oleh kedua-dua pihak untuk berunding.

Penampilan Diri

Pandangan pertama kali amat penting dalam menentukan keberkesanan hubungan yang akan terjalin seterusnya. Sekiranya klien berasa selesa dan gembira dengan keadaan dan raut wajah serta cara kaunselor berpakaian, ini merupakan ciri pertama yang menentukan kejayaan sesi seterusnya. Kaunselor dan klien harus berpakaian mengikut norma-norma tempatan. Penampilan kaunselor yang boleh mengganggu tumpuan klien adalah seperti bau minyak wangi yang terlalu kuat, berpakaian yang menjolok mata, berpakaian terlalu selekeh atau badan terlalu berbau busuk

Ekspresi muka

Dalam sesi kaunseling, ekspresi muka dapat membantu menerangkan erti mesej yang hendak disampaikan. Oleh itu, adalah penting bagi para kaunselor mempamerkan ekspresi muka atau wajah yang dapat menyakinkan klien. Wajah atau mimik muka adalah hasil kombinasi daripada sinaran atau pandangan mata, kedutan dahi, muka dan hidung dan riak yang lahir daripada muka semasa berinteraksi. Misalnya muka menjadi merah ketika marah atau malu. Ekspresi muka yang tidak sama dengan kata-kata menimbulkan reaksi kurang senang klien. Misalnya mulut tersenyum tetapi nada suara mengejek. Senyuman begini tidak akan ditafsirkan sebagai petanda persahabatan yang baik.

Kontak Mata

Fungsi kontak mata adalah untuk membolehkan kaunselor memberi tumpuan, menunjukkan minat, menunjukkan tanda hormat, menggalakkan perundingan, menimbulkan rasa penerimaan, menimbulkan rasa percaya mempercayai, menimbulkan rasa keselesaan dan menimbulkan rasa kesungguhan. Kontak mata bukan bererti kaunselor memandang tepat pada biji mata klien, tetapi menumpukan pandangan ke arah muka klien. Ini juga tidak bermakna kaunselor memandang tidak berhenti-henti atau tidak bergerak-gerak kepada klien.

Cara duduk dalam sesi kaunseling

Seorang kaunselor itu harus peka serta dapat membaca dan melihat bahasa badan yang dilahirkan oleh kliennya. Kedudukan dan pergerakan badan ini juga memberi nada dan makna dalam hubungan kaunseling. Cara duduk boleh menggambarkan penerimaan kita terhadap orang lain. Seseorang yang bersikap terbuka dan mesra akan duduk condong sedikit ke arah orang yang bercakap dengannya. Manakala orang yang bersifat tidak menerima, lebih cenderung duduk menyandar ke belakang menjauhi kliennya. Kaunselor yang baik akan duduk condong sedikit ke hadapan menghadapi kliennya yang menandakan beliau menerima dan bersedia untuk membantu. Beberapa ciri penting perlu diamalkan oleh kaunselor iaitu jangan duduk menyandar di kerusi sambil menggoyang-goyangkan badannya secara tidak berhenti, jangan menyilang kaki dengan kaki sebelah di atas lutut, atau sambil tangandiletak di belakang tengkuk dan menyadar. Kaunselor juga jangan menjadi terlalu rigid dan tidak bergerak langsung.

Pergerakan tangan dan kaki

Pergerakan tangan dan kaki yang sesuai dapat memudahkan komunikasi tetapi pergerakan yang terlalu banyak kadangkala akan menjadi halangan dalam komunikasi antara kaunselor dengan klien. Contohnya klien yang ‘nervous’ kadangkala melahirkan rasa cemasnya dengan menggoyangkan kakinya dengan tidak berhenti-henti. Pergerakan tubuh badan biasanya dipelajari berasaskan budaya masing-masing. Berikut ialah beberapa contoh pergerakan tangan;

Berpeluk tubuh

-Pergerakan tubuh ini membawa erti seorang yang tertutup, kurang selamat atau kurang bersedia untuk berbincang, merasa negatif terhadap diri dan bersifat defensif.

Tangan di dalam kocek

Tangan di dalam kocek seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Kedua-dua belah tangan memegang kuat pada tangan kerusi- merasa takut atau risau

Tergaru-garu

Pergerakan tangan yang tergaru-garu seolah-olah menunjukkan rasa ragu-ragu dan tidak pasti

Menggigit jari

Klien yang menggigit jari boleh menunjukkan rasa tertekan, cemas dan risau

Senyuman

Senyuman kaunselor boleh meredakan ketegangan emosi di pihak klien. Klien akan berasa lebih selesa dan mudah untuk memulakan perbincangan. Senyuman juga harus diberikan mengikut kesesuaian dalam sesi kaunseling. Sekiranya senyuman tidak sesuai, klien akan silap memberi interpretasi. Senyuman klien juga harus difahami oleh kaunselor. Klien mungkin akan tersenyum untuk menutup rasa takut, risau keliru atau serba salah, malu dan sebagainya. Kepekaan kaunselor melihat senyuman ini sangat penting untuk memastikan sesi kaunseling yang dijalankan itu sesuai menepati matlamatnya.

Nada suara

Nada suara membantu dalam memahami kontak dan situasi perkara yang dirundingkan. Dengan mendengar nada suara, kaunselor dapat memahami klien dengan lebih tepat. Nada suara selalunya membawa emosi yang terkandung di dalam sesuatu perkataan atau ayat. Contohnya perkataan ‘sayang’ jika disebut dengan nada yang lembut bererti sayang yang sebenar. Tetapi jika ‘sayang’ yang disebut dengan nada yang keras, mungkin bererti marah. Adalah penting bagi kaunselor mendengar nada suara kerana ia akan memberi peluang kepadanya untuk memahami emosi klien seperti nada tegang, geram atau marah dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment