Monday, March 18, 2013

kemahiran asas kaunseling- kemahiran menyoal



Soalan merupakan kaedah yang paling banyak digunakan dalam sesebuah sesi kaunseling. Ini adalah kerana ia merupakan cara yang paling mudah untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Biasanya, soalan akan ditanya oleh kaunselor dan dijawab oleh klien.

Soalan-soalan yang dikemukakan haruslah berkaitan dengan usaha menggalakkan klien menjelajah dan memahami perasaannya. Di samping itu, soalan yang ditanya perlu mempunyai tujuan yang tertentu dan berupaya untuk menarik perhatian klien untuk meluahkan perasaan dan masalahnya tanpa merasa dirinya terggugat.

Namun, kaunselor perlu pastikan bahawa soalan yang hendak ditanya itu sesuai, mudah difahami dan memudahkan klien untuk menjawabnya dengan penuh rela. Selain itu, soalan boleh juga digunakan untuk menggalakkan atau mengurangkan percakapan klien. Dalam usaha kaunselor memahami lebih lanjut perkara yang ingin dirundingkan oleh klien, menyoal adalah satu cara yang perlu dilaksanakan.

Matlamat menyoal adalah untuk mendapatkan maklumat dengan cepat, mendapatkan maklumat lanjut dan akhir sekali untuk mendapatkan kepastian. Di dalam sesi kaunseling terdapat dua bentuk soalan yang dapat digunakan iaitu soalan tertutup dan soalan terbuka.

Kemahiran menyoal juga boleh menambahkan keupayaan kaunselor untuk mengumpul maklumat dengan lebih spesifik. Ia membantu kaunselor memahami butir-butir klien dengan lebih mendalam bagi membolehkannya membuat keputusan yang tepat berdasarkan maklumat yang tepat itu. Terdapat dua jenis soalan yang boleh digunakan oleh kaunselor iaitu soalan jenis terbuka dan tertutup.

Jenis-jenis soalan

Terdapat beberapa jenis soalan. Antaranya ialah soalan yang menggunakan perkataan “boleh”, “apa”, “bagaimana” dan ”kenapa”. Soalan-soalan ini mempunyai tujuan masing-masing. Contohnya soalan yang menggunakan ‘boleh” cenderung lebih terbuka dan kurang kawalan ke atas klien. Soalan “apa” membawa klien bercakap tentang fakta dan spesifik tentang situasi. Soalan “bagaimana” pula membawa klien bercakap tentang proses dan urutan atau emosi. Soalan “kenapa” memulakan temubual, membuka era baru dalam perbincangan. Soalan ini juga membantu klien dalam penerokaan diri dan membantu klien mencari sebab yang mempengaruhi tingkah laku, pemikiran dan emosinya.

Soalan “boleh” : “Boleh saya tahu apa yang menyebabkan Dila marah pada kawan baik Dila itu?

Soalan “apa” : Apa yang menyebabkan Dila mengambil tindakan tak balik rumah.

Soalan “bagaimana”:Bagaimana agaknya perkara ini boleh berlaku?

Soalan “kenapa”: Kenapa semua orang tak percayakan saya”


Soalan tertutup

Soalan tertutup ini ialah soalan yang menghadkan kepada satu atau beberapa perkataan sahaja dan jawapan ini dapat memberikan maklumat yang khusus. Contohnya “adakah anda datang bekerja semalam?. Dan siapakah yang pergi bersama awak ke Langkawi?

Tujuan mengadakan soalan tertutup kepada klien adalah untuk mendapatkan kepastian bagi sesuatu fakta dan mendapatkan maklumat yang khusus. Selain itu, soalan tertutup juga dapat memberhentikanorang daripada terlalu banyak bercakap serta memberi arah tertentu di dalam perbincangan.

Soalan tertutup adalah soalan yang khas yang cukup sekadar dijawab dengan gerak balas yang ringkas, tepat dan padat. Ia lebih spesifik dan memerlukan jawapan yang mempunyai satu atau dua perkataan sahaja, seperti ‘ya’ atau ‘tidak’. Contoh soalan tertutup ialah “Kamu akan datang esok”? Soalan ini berguna kerana mengambil masa yang singkat sekali untuk mendapatkan jawapan yang tepat dan padat.

Soalan tertutup digunakan untuk tujuan seperti menggalakkan sesi kaunseling daripada terkeluar dari topik perbincangan, memenuhi jurang maklumat yang spesifik dan mengurangkan percakapan klien yang banyak. Contoh soalan tertutup adalah seperti di bawah;

Contoh Satu

“…Bila perkara ini telah berlaku?.”

Contoh kedua

“Berapa lama hubungan ini telah terjalin?.”


Soalan tertutup digunakan untuk tujuan seperti

- menggalakkan sesi kaunseling daripada terkeluar dari tajuk perbincangan
- memenuhi jurang maklumat yang spesifik
- mengurangkan percakapan klien yang banyak


Soalan terbuka

Soalan jenis ini bertujuan menjemput perbincangan, penjelasan dan huraian yang panjang lebar. Ia tidak memerlukan jawapan yang khusus. Soalan terbuka ini dapat menimbulkan rasa selesa pada diri klien dan rasa diterima. Matlamat bertanyakan soalan terbuka adalah untuk menggalakkan penerokaan dan pengembangan kepada perkara yang sedang dirundingkan.

Selain itu, soalan terbuka dapat memberi ruang kepada klien meluahkan perasaannya mengikut arah yang dipilihnya sendiri dan dikhususkan oleh kaunselor. Oleh itu klien lebih dapat mengawal perundingan. Soalan terbuka juga membolehkan klien memberi maklumat tanpa menimbulkan rasa defensif dan membolehkan klien mengeluarkan pendapat sendiri.

Soalan terbuka seterusnya memberi peluang kepada klien memberikan penjelasan tentang sesuatu perkara mengikut pandangannya sendiri tanpa dinilai terlebih dahulu. Contoh-contoh soalan terbuka adalah seperti “bagaimanakah kejadian itu boleh berlaku?” Atau “sejauh manakah kejadian itu mengganggu hidup anda?”

Soalan terbuka akan memberi peluang kepada klien untuk menerokai dan membincangkan segala yang dialami dan dirasainya. Ia turut menggalakkan klien untuk bercakap dengan lebih banyak ataupun memberikan penjelasan yang lebih jelas. Lazimnya, soalan terbuka menggunakan kata soal seperti “siapa”, “apa”, “di mana” dan “bagaimana”. Contoh soalan terbuka ialah seperti “Apa pendapat kamu tentang adik kamu?”

Soalan jenis ini membolehkan klien untuk bebas bercerita atau menerangkannya. Terlalu banyak mengaju soalan terbuka akan mengganggu pendengaran kaunselor. Soalan terbuka boleh diselangseli dengan respons lain yang dapat menggalakkan klien berbincang.

Oleh itu, adalah penting untuk kaunselor mengetahui bila dan bagaimana untuk menggunakan kedua-dua soalan terbuka dan tertutup dalam sesi kaunselingnya. Kaunselor perlu menyedari, kesan dan implikasi daripada soalannya terhadap kliennya. Gabungan dua jenis soalan ini dapat digunakan mengikut kesukaan dan keperluan kaunselor bergantung kepada jenis maklumat yang diperlukan.

Soalan terbuka digunakan untuk tujuan di permulaan sesi kaunseling, untuk mendapatkan maklumat lebih jelas dan menggalakkan klien yang pendiam untuk bercakap

Walau bagaimanapun kaunselor perlu memastikan bahawa tidak terlalu banyak soalan ditanya pada satu masa. Ini adalah kerana klien akan keliru dan tidak tahu soalan mana yang hendak dijawab terlebih dahulu. Soalan yang bermula dengan “mengapa” yang memerlukan klien membuat penjelasan perlu dielak kerana mungkin akan menakutkan klien. Soalan-soalan sensitif juga harus dielakkan.

-Contoh soalan terbuka

“Kalau tidak keberatan, boleh anda kongsikan penderitaan anda tersebut dengan saya.’

“Agaknya bagaimana hal ini boleh berlaku.”

“Boleh tolong jelaskan lagi maksud renggang itu.”


-Perbandingan contoh soalan terbuka dan tertutup 

Untuk mendapatkan gambaran dengan lebih jelas mengenai makna jenis soalan terbuka dan tertutup, beberapa contoh perbandingan dilakukan

Soalan tertutup : “Adakah saudari merasa jemu?.”

Soalan terbuka : “Boleh saudari jelaskan mengapa saudari merasa jemu?.”

Soalan tertutup : “Adakah saudara selalu bermasam muka dengan rakan saudara?.”

Soalan terbuka : “Boleh beritahu saya sebab-sebab yang anda selalu bermasam muka dengan rakan saudara?.”

Soalan tertutup :“Bila saudara merasa marah dengan ibu saudara?.”

Soalan terbuka :“Apakah sebab saudara marah pada ibu saudara?.”


Jones (2004) menjelaskan kaunselor perlu membuat perkara yang perlu diambilkira dalam membuat soalan seperti berikut;

Tujuan soalan

Kaunselor yang efektif bertanya soalan yang mengundang kepada perkembangan pemahaman masalah klien dan dirinya.

Jumlah soalan

Kaunselor boleh bertanya soalan yang hanya bertumpu kepada masalah semasa atau soalan yang lebih umum.

Tahap intimasi

Kaunselor perlu bersifat sensitif kepada soalan yang boleh memberi kesan kepada intimasi perhubungan.

Seterusnya Jones (2004) menjelaskan jenis-jenis soalan adalah seperti berikut;

 Soalan terbuka dengan soalan tertutup

 Soalan berbentuk klarifikasi
Soalan yang memberi peluang untuk mengembangkan apa yang telah diperkatakan.

 Soalan yang memerlukan maklumat spesifik
Soalan jenis ini bertujuan mengumpul maklumat konkrit mengenai masalah klien dan maklumat spesifik berfokus kepada bagaimana, apa, bila dan di mana. Soalan bagaimana termasuk ”bagaimana anda rasa atau bertingkah laku” Soalan ”bagaimana” adalah amat berguna untuk mendapatkan data untuk menunjukkan bagaimana klien bertingkah laku. Soalan ”apa” termasuk ”apa yang berlaku”, ”berikan saya contoh apa yang telah berlaku”, ”apa yang anda lihat sebagai masalah”, ”apakah agaknya kesan apabila melakukan perkara di atas”.

Salah guna soalan

Kadang-kadang soalan digunakan secara salah dan berlebihan oleh kaunselor. Apabila ini berlaku, ianya memberi kesan kepada keberkesanan kaunseling dan juga perhubungan kaunselor dan klien. Penulis-penulis seperti Gazda et al (1977) dan Patterson (1974) memberi komen mengenai kesan negatif penggunaan solaan yang salah. Dua perkara yang sering disalahgunakan ialah yang berkaitan dengan kuantiti dan kualiti soalan.

Penggunaan kuantiti soalan yang tidak bersesuaian akan membentuk kebergantungan, meletakkan tanggungjawab ke atas kaunselor, mengurangkan penerokaan kendiri, menghasilkan maklumat yang tidak tepat, menghasilkan perasaan defensif, ke atas klien dan membentuk kemahiran membantu yang rendah.


Contoh soalan yang berfokus kepada perasaan dan reaksi fisikal

-Bila anda mula rasai perasaan ini?

-Ceritakan dengan lebih lanjut lagi mengenai perasaan anda

-Apa perasaan anda sekarang?


Contoh soalan yang berfokus kepada pemikiran

-Apakah fikiran anda sebelum/semasa/selepas situasi ini?

-Apakah yang anda rasakan sebelum apa yang anda rasakan sekarang?.

-Berapa kerapkah anda berfikir begini?


No comments:

Post a Comment