TEKS UCAPAN OLEH : WAKIL MURID SKTMR
SEMPENA :
MAJLIS APRESIASI UPSR 2019
SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN MEGAH RIA
PADA :
7 NOVEMBER 2019
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Yang Berusaha Puan Miskiah Bt Jalaludin,Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Megah Ria,
Barisan pentadbir sekolah,
En. Fadzil Bin Selamat, Penolong Kanan Kurikulum
Pn. Engku Norani Bt Syed Abdullah, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
Pn, Rabunah Bt Salikan, Penolong Kanan Ko-kurikulum
Seterusnya barisan guru-guru, ibu bapa dan juga rakan-rakan yang dikasihi sekalian.
Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kerana memberikan saya ruang dan peluang untuk menyampaikan ucapan pada Majlis Apresiasi 2019 ini. Saya mewakili semua pelajar tahun 6 Sekolah Kebangsaan Taman Megah Ria tahun 2019 ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada warga pendidik SKTMR kerana berjaya menganjurkan majlis ini.
Hadirin sekalian,
Majlis ini diadakan khas untuk kami, murid tahun 6 yang akan menamatkan pengajian di sekolah ini, sekolah yang kami sayangi ini. Betapa bangganya kami kerana sebelum kami melangkah keluar meninggalkan sekolah, kami telah diraikan dan diberikan penghormatan dalam majlis yang belum kami rasai sebelum ini. Majlis Apresiasi UPSR ini kelak akan menjadi suatu memori indah buat kami. Memori ini akan kami simpan baik-baik menjadi lipatan sejarah. Inilah detik paling indah buat kami . Oleh itu, saya mewakili semua murid tahun 6 mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua guru yang pernah mengajar kami sejak kami tahun satu hingga tahun enam.
Gurulah yang telah banyak berkorban untuk kami. Guru sanggup berkorban masa, tenaga bahkan wang ringgit demi melihat kejayaan kami. Guru jugalah yang menjadi ibu bapa kedua bagi kami.
Hadirin dan rakan-rakan sekalian,
Majlis Apresiasi ini memberikan pengertian yang amat besar kepada murid- murid tahun 6. Memakai jubah dan berbaris, kemudian naik ke pentas seorang demi seorang untuk menerima skrol merupakan pengalaman paling berharga buat kami. Majlis hari graduasi ini telah menjadi pembakar semangat kami agar tidak jemu berusaha untuk mencapai kejayaan demi kejayaan sehingga kami benar-benar dapat menjejakkan kaki ke menara gading.
Kami sedar dan kami yakin bahawa untuk mencapai kejayaan yang sebenar bukanlah satu perkara mudah. Namun, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Oleh hal yang demikian, biarlah majlis hari graduasi ini menjadi titik permulaan kepada kami untuk menyeluk pekasam sehingga ke pangkal lengan, alang-alang mandi biar basah, alang-alang berdakwat biar hitam, bara yang digenggam biar sampai jadi arang, agar pada suatu hari nanti kami menjadi benih yang dicampakkan ke laut menjadi sebuah pulau.
Akhir kata, selaku wakil murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Taman Megah Ria tahun 2019, saya mengambil kesempatan dalam majlis ini untuk memohon maaf kepada semua guru sekiranya sepanjang kami berada di sekolah ini terdapat kesilapan tutur kata dan tingkah laku yang tidak disenangi sepanjang bergelar murid. Harapan kami agar guru-guru sekalian berada dalam lindungan dan rahmat Allah S.W.T sentiasa.
Sekian. Wabillahitaufik wal hidayah, Assalamualaikum wbt.
Disediakan oleh,
Pn. Herney 'Aqilah Bt Muhaimin
Guru Bahasa Melayu Tahun 6
SK Taman Megah Ria.