Friday, July 25, 2014

Kesalahan yang biasa oleh murid-murid semasa menulis karangan


Kesalahan pertama ialah kesalahan memilih tajuk. Kesalahan memilih tajuk biasanya berlaku kerana murid tidak memahami apa yang dikehendaki oleh soalan. Keadaan ini terjadi mungkin murid terburu-buru menyiapkan karangan. Mereka menulis karangan asalkan siap sahaja.

Kesalahan kedua ialah kekurangan isi. Oleh sebab kekurangan isi, sesetengah murid menghuraikan isi secara mendatar atau meleret-leret. Ini juga boleh menyebabkan terjadinya pengulangan isi yang sama. Hal ini berlaku kerana murid kurang membaca dan terhadnya pengetahuan.

Kesalahan ketiga ialah pembahagian perenggan. Ada murid meletakkan beberapa isi dalam satu perenggan. Ini menyebabkan sesuatu isi tidak dapat dihurai secara mendalam. Malah ada murid menulis hanya satu perenggan untuk satu karangan!

Kesalahan keempat ialah tidak merangka karangan. Ada murid yang terus menulis tanpa mencari isi terlebih dahulu. Murid yang tidak merangka bererti murid tersebut tidak menyusun isi. Ini menyebabkan karangan tidak kemas dan bercelaru. Ia juga menyebabkan susunan isi tidak berturutan. Terdapat juga isi yang sama diulang. Malah ada murid yang menulis sambil mengharapkan isi datang kemudian ( terlintas di fikiran ).

Kesalahan kelima ialah kesalahan tatabahasa. Murid perlu tahu , penguasaan bahasa terkini amat penting bagi memastikan karangan mendapat ‘A’. Pada tahap Tahun 6 , sepatutnya masalah kesalahan ejaan tidak lagi timbul. Masih ada murid yang tidak dapat membezakan antara "pada" dengan "di", "dari" dengan "daripada", "bila" dengan "apabila" dan pelbagai lagi. Ramai yang tidak menggunakan imbuhan dengan betul. Lebih malang lagi murid tidak menggunakan imbuhan langsung untuk karangannya.

Kesalahan keenam ialah kesuntukan masa. Masa membina karangan sangat terhad. Pengurusan masa memainkan peranan penting. Murid yang tidak peka akan terburu-buru menyiapkan karangan. Ini menyebabkan tiada masa untuk menyemak kesalahan tatabahasa. Malah nombor soalan pun tidak sempat ditulis. Terdapat kes murid yang cemerlang, hanya menjawab satu soalan sahaja dengan baik dan mendapat markah penuh. Tetapi tidak menjawab satu soalan lagi. Akibatnya beliau hanya mendapat 50 % ( ‘C’ ) sahaja.

Kesalahan-kesalahan lain ialah seperti tidak mengikut jumlah perkataan yang ditetapkan, tidak dapat mengenal pasti format yang diperlukan dan Masih ada yang menggunakan bahasa dialek daerah ( bahasa kampung / bahasa Kelantan ).


No comments:

Post a Comment