Tuesday, October 16, 2012

Peranan main dalam proses pembelajaran kanak-kanak



Konsep dan Peranan Main 

Konsep main boleh dijelaskan sebagai “… tingkah laku dinamik, aktif dan konstruktif yang telah disebatikan dalam diri kanak-kanak. Ia merupakan satu keperluan dalam alam kanak-kanak, dari peringkat bayi sehingga peringkat remaja” (Brewer, 2001, m.s.144). 

Sudah tentu anda masih ingat pengalaman bermain semasa anda di bangku sekolah. Pengalaman tersebut masih meninggalkan perasaan kegembiraan, kebebasan dan emosi yang menenangkan jiwa. Sebenarnya dari perspektif psikologi, kesemua perasaan ini memberi kesediaan kognitif kepada individu tersebut untuk belajar pada tahap optimum. Maka sebagai pendidik, kita harus bawa unsur keseronokan ini ke dalam bilik darjah. 

Bermain merupakan aktiviti di dalam kehidupan seharian kanak-kanak. Melalui aktiviti bermain, kanak-kanak belajar berkenaan diri sendiri dan hubungan dengan alam persekitarannya. Main adalah proses di mana pembelajaran berlaku, main ialah tugas  belajar kanak-kanak. Oleh yang demikian, ibu-bapa, orang dewasa dan guru perlu memahami peranan dan kepentingan main dalam proses pembelajaran kanak-kanak di sekolah rendah. Tanpa pengetahuan dan kefahaman tentang konsep ini, main dianggap tidak mendatangkan faedah dan hanya membuang masa dan tenaga sahaja. 


Pengalaman Langsung Melalui Bermain 

Cara pembelajaran terbaik untuk kanak-kanak belajar tentang dunia mereka adalah melalui pengalaman langsung. Ibu bapa tidak akan berkata, “Jangan tengok labah-labah ini, baca buku tentang labah-labah.” 

Seseorang akan memahami apa yang diperkatakan oleh orang lain berdasarkan pengalaman mereka. Kanak-kanak mungkin mempunyai pengalaman langsung yang terhad, guru dan ibubapa harus mengaturkan peluang untuk kanak-kanak mengalaminya. Oleh itu proses pembelajaran adalah lebih berkesan bagi kanak-kanak yang masih dalam peringkat perkembangan Operasi Konkrit (7-12 tahun) untuk mengalami persekitaran pembelajaran yang berunsurkan hands-on, penglibatan dan eksperiential. Pengalaman langsung yang paling asas dan semula jadi ialah bermain.



No comments:

Post a Comment