Tuesday, October 16, 2012

Jenis-jenis main



JENIS-JENIS MAIN 

Modul ini akan membincangkan dua jenis main iaitu pertamanya, main sosial yang diutarakan oleh Parten (1932) dan jenis kedua ialah main dengan objek atau main kognitif yang dipelopori oleh Piaget (1962) kemudiannya dikembangkan oleh Piaget dan Inhelder (1969). 


Main Sosial 
Parten (1932) membahagikan mainan sosial kepada enam peringkat iaitu perlakuan tak menentu, main sendirian, main pemerhatian, main selari, main assosiatif dan main koperatif. 

- Perlakuan Tak Menentu (Unoccupied Play )
Kanak-kanak berada dalam kawasan permainan tetapi belum terlibat dalam aktiviti bermain 

- Main Sendirian (Solitary Play )
Kanak-kanak bermain secara berasingan dalam kawasan yang sama tanpa menghiraukan kanak-kanak lain di keliling mereka. 

- Main Pemerhatian (Onlooker Play)
Kanak-kanak berada dalam kawasan bersama kanak- kanak lain yang sedang bermain sambil memerhati aktiviti mereka. Pemerhati ini seringkali duduk secara pasif sambil membuat pemerhatian. Selepas itu, ia mungkin meniru corak permainan mengikut apa yang diperhatikan atau mungkin berbual dengan sebayanya. 

- Main Selari (Parallel Play )
Terdapat beberapa kanak-kanak menggunakan cara atau alat permainan yang sama tetapi mereka tidak berkongsi alat. Kanak-kanak berbual tetapi tindakan seorang individu tidak bergantung kepada tingkah laku individu yang lain. 

- Main Asosiatif (Associative Play )
Beberapa kanak-kanak bermain dalam kalangan mereka tetapi bukan dengan cara yang teratur. Mereka mungkin main kejar-kejar tanpa peraturan atau peranan yang dikenalpasti. 

- Main Koperatif (Cooperative Play)
Setiap kanak-kanak dalam kumpulan mempunyai peranan dan perlu saling bergantungan untuk mencapai matlamat permainan. Main koperatif merupakan satu bentuk kerja berpasukan. 


Main dengan Objek/ Main Kognitif 

Piaget (1962) membahagikan main kognitif kepada empat peringkat iaitu main latihan atau main fungsional, main simbolik, main konstruktif dan main dengan peraturan. 

1. Main Latihan/ Main Fungsional 

Main latihan atau main fungsional merupakan aktiviti di mana kanak-kanak meneroka kepelbagaian bahan-bahan mainan. Orang dewasa juga mungkin terlibat dengan mainan latihan apabila berdepan dengan bahan baru, contohnya melatih untuk membiasakan diri dengan fungsi telefon bimbit barunya. 

Main fungsional ini mempunyai ciri pengulangan, manipulasi dan peniruan. Sebagai contoh, kanak-kanak bermain memancing ikan olok-olok, dia akan melakukan aktiviti mencangkuk berulang kali, meneroka teknik yang terbaik sehingga ia memperolehi cara terbaik untuk menguasai kemahiran tersebut. 


2. Main Simbolik 

Main simbolik melibatkan imaginasi dan kreativiti yang melibatkan perkaitan fungsi mental yang kompleks. Dalam contoh aktiviti bermain memancing, kanak-kanak menggunakan joran sebagai senapang atau penunjuk konduktor okestra atau penunjuk papan tulis guru. Main simbolik memberikan peluang kepada kanak-kanak mempamerkan kreativiti, kebolehan fizikal dan kesedaran sosial. 

Main simbolik termasuk sosiodrama di mana dalam permainan ini kanak-kanak memegang sesauatu peranan kemudian melakonkannya. Sosiodrama boleh melibatkan pengalaman sebenar kanak-kanak atau berimaginasi,contohnya menidurkan adik atau menaiki roket. Mainan simbolik menyediakan peluang untuk kanak-kanak memikirkan peranan masa depan, menggunakan bahan untuk menyelesaikan masalah, meningkatkan penggunaan bahasa, menghayati nilai moral dan budaya yang terkandung dalam mainan tersebut. 

3. Main Konstruktif 

Piaget dan Inhelder (1969) menjelaskan mainan konstruktif sebagai peningkatan daripada mainan simbolik di mana kanak-kanak perlu membuat penyesuaian atau ciptaan untuk menyelesaikan masalah/menghasilkan sesuatu. Sebagai contoh, kanak-kanak menggunakan kotak, bongkah, kertas, pasir, doh dan sebagainya secara bergabung atau berasingan untuk membina menara, kereta kotak, istana pasir, ‘figurine’ dan hasilan kreatif yang lain. 

Main konstruktif melibatkan bermain untuk membina pengetahuan dan mengenali dunia. Bahan-bahan di persekitaran diguna pakai secara kreatif dan fungsional untuk menghasilkan ciptaan mengikut daya kreativiti. 

Main konstruktif memberi kepuasan dan kebanggaan kepada kanak-kanak terhadap hasilan mereka. Kanak-kanak mempunyai kebebasan untuk memilih dan membuat keputusan serta bertanggunjawab terhadap benda yang ingin dihasilkan. 

Guru perlu mengaturkan peluang untuk main konstruktif di kalangan pelajar kerana ia merupakan aktiviti yang melibatkan aras pemikiran tinggi, mencerakin persekitaran untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna. 

4. Main Berperaturan 

Dalam main berperaturan, kanak-kanak bermain mengikut peraturan yang dipersetujui bersama ataupun mengikut batasan dan peraturan permainan tersebut. Namun, peraturan mungkin berbeza mengikut daerah atau lokasi yang berbeza. Sebagai contoh, permainan ketingting mempunyai cara dan peraturan yang berbeza mengikut lokasi kawasan. Kanak-kanak juga mungkin mereka cipta permainan berperaturan sendiri. 

Permainan berperaturan ini dapat membantu perkembangan kanak-kanak dari segi kognitif seperti kemahiran berfikir, menyelesaikan masalah, mencari alternatif, membuat andaian dan merancang strategi. Perkembangan sosial dan emosi pula diperhatikan apabila kanak-kanak belajar mematuhi peraturan, mengambil giliran, saling menghormati termasuk pasukan lawan, berkomunikasi secara bersopan, berkompromi dalam rundingan serta menghormati kemenangan dan menerima kekalahan dengan semangat setiakawan.




2 comments: