Wednesday, October 24, 2012

JABATAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN (JKKP)



1.1 Objektif Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).


Jabatan ini merupakan sebuah jabatan di bawah Kementrian Sumber Manusia. Jabatan ini bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang sedang bekerja dan melindungi orang-orang lain daripada bahaya-bahaya keselamatan dan kesihatan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan pelbagai sektor iaitu: Pengilangan, Perlombongan dan pengkuarian ,Pembinaan ,Hotel dan restoran ,Pertanian, perhutanan dan perikanan, Pengangkutan , penyimpanan dan komunikasi ,Perkhidmatan awam dan pihak berkuasa berkanun, Kemudahan gas, elektrik, air dan perkhidmatan kebersihan, Kewangan, insuran, hartanah dan perkhidmatan perniagaan.


Objektif Jabatan ialah mencegah kemalangan industri dan penyakit pekerjaan menjelang tahun 2010 seperti berikut :
(a) Pengurangan kadar kemalangan maut sehingga 20%
(b) Pengurangan kadar kemalangan yang dilaporkan (maut, hilang upaya kekal, tanpa hilang upaya kekal) sehingga 20%


(c) Penambahan jumlah pemeriksaan penguatkuasaan sehingga 100% dan promosi sehingga 200%; dan
(d) Penambahan tempat kerja yang menggaji pengamal KKP (SHO) sehingga 20%



1.2 Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.


Adalah menjadi dasar Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat untuk semua pekerjanya dan orang-orang lain yang mungkin terjejas oleh aktiviti-aktivitinya.


Pihak pengurusan dan pekerja akan sama-sama berusaha untuk mencapai matlamat dan objektif-objektif dasar ini melalui rundingan dan kerjasama.


Khususnya, dasar Jabatan ialah:

Untuk menyedia dan menyenggarakan suatu tempat dan sistem kerja yang selamat dan sihat;
Untuk memastikan bahawa semua kakitangan adalah diberi maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan berkenaan cara untuk menjalankan tugas dengan selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan;
Untuk menyiasat semua kemalangan, penyakit, keracunan dan kejadian berbahaya dan mengambil langkah-langkah untuk memastikan kejadian-kejadian tersebut tidak berulang lagi;
Untuk mematuhi kehendak-kehendak perundangan mengenai keselamatan dan kesihatan seperti yang ditetapkan di dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, peraturan-peraturannya dan tataamalan-tataamalan yang diluluskan;
Untuk menyediakan kemudahan-kemudahan kebajikan bagi semua pekerja; dan
Untuk mengkaji semula dasar ini apabila perlu.





Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan yakin bahawa keselamatan dan kesihatan mestilah diintegrasikan ke dalam aktiviti-aktiviti harian kita, dan penggunaan cara kerja selamat dan sihat adalah faktor utama ke arah mempastikan kejayaan misi .





1.3 Perundangan.


Perundangan baru Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan diperbuat pada tahun 1994. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) telah mendapat kelulusan Parlimen pada 1993 dan telah diwartakan pada Februari 1994. Perundangan ini diperbuat kerana memandangkan Akta Kilang dan Jentera 1967 hanya meliputi keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sektor perkilangan, perlombongan; dan penguarian dan pembinaan, yang mana keselamatan dan kesihatan pekerja di sektor industri-industri lain tidak diliputi. Pekerja-pekerja yang terlibat di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967 hanyalah 24% daripada jumlah tenaga kerja, manakala Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 merangkumi sejumlah 90% daripada tenaga kerja dan akta ini hanya mengecualikan pekerjaan atas kapal dan angkatan tentera.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 adalah bertujuan untuk memupuk dan menggalakkan kesedaran keselamatan dan kesihatan di kalangan pekerja-pekerja dan juga mewujudkan organisasi dan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan yang berkesan. Ini dilaksanakan melalui skim-skim pengaturan kendiri yang disesuaikan dengan industri atau organisasi yang berkaitan. Akta ini, yang mengandungi 15 bahagian, adalah langkah pembolehan yang bertindih di atas undang-undang keselamatan dan kesihatan sedia ada seperti Akta Kilang dan Jentera 1967. Peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ini melengkapi peruntukan undang-undang sedia ada dan sekiranya terdapat sebarang percanggahan, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 akan mengatasinya.

Akta ini juga mendefinasikan kewajipan-kewajipan am majikan, pengilang, pekerja, pekerja sendiri, perekabentuk, pengimport dan pembekal. Walaupun kewajipan-kewajipan tersebut adalah berbentuk am, ia memerlukan perhatian yang serius, dan membawa pelbagai tanggungjawab yang luas. Tiga prinsip utama telah diambil untuk dijadikan asas dalam penggubalan Akta ini. Prinsip pertama ialah self- regulation atau pengaturan kendiri. Untuk menangani perkara-perkara berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pihak majikan perlu membangunkan satu sistem pengurusan yang baik dan kemas.


Bermula dengan mengadakan satu polisi keselamatan dan kesihatan untuk pekerja-pekerjanya, pihak majikan perlu mengadakan satu perkiraan atau arrangement yang baik untuk dilaksanakan. Prinsip kedua ialah perundingan atau consultation, iaitu pihak majikan, pekerja dan kerajaan perlu berunding untuk menyelesaikan isu-isu dan masalah-masalah berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat-tempat kerja. Prinsip ketiga ialah kerjasama atau co-operation, iaitu pihak majikan dan pihak pekerja perlu bekerjasama untuk menjaga, memelihara dan meningkatkan mutu keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja. Tanpa kerjasama di antara majikan dan pekerja tiada satu pun program-program keselamatan dan kesihatan yang dilaksanakan akan berjaya.


Akta ini juga memperuntukkan perlantikan pegawai-pegawai penguatkuasa, penubuhan Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, pembentukan polisi dan penyusunan langkah-langkah untuk melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang sedang bekerja dan orang-orang lain daripada bahaya yang timbul daripada aktiviti orang-orang yang sedang bekerja. Kuasa untuk penguatkuasaan dan penyiasatan, serta libiliti untuk kesalahan-kesalahan juga dinyatakan dengan jelas.


Dengan kelulusan akta ini mulai April 1994 Jabatan Kilang dan Jentera dikenali sebagai Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Pemeriksa dikenali sebagai Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.



Di bawah akta ini sektor-sekotr industri yang terlibat adalah seperti berikut:


· Pengilangan


· Perlombongan dan penguarian


· Pembinaan


· Pertanian, perhutanan dan perikanan


· Kemudahan - gas, elektrik, air dan perkhidmatan kebersihan


· Pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi


· Perdagangan borong dan runcit


· Hotel dan restoran


· Kewangan, insuran, harta tanah dan perkhidmatan perniagaan


· Perkhidmatan awam dan pihak berkuasa berkanun


Manakala misi Jabatan adalah untuk mewujudkan budaya kerja yang selamat dan sihat di kalangan semua majikan dan pekerja supaya keselamatan, kesihatan dan kebajikan mereka dan orang lain yang terdedah risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti orang bekerja adalah terpelihara.







2 comments:

  1. Apakah kelebihan yang pekerja dapat sekira pekerja memnbuat aduan mengenai kemalangan dirinya di tempat kerja kepda pihak JKKP kerana pihak syarikat tidak melaporkan perkara tersebut..

    ReplyDelete
  2. apa pun x boleh nampak

    ReplyDelete